22 surau, masjid di Miri terima sumbangan PM

0

MIRI: Sebanyak 22 buah surau dan masjid di Bahagian Miri menerima sumbangan buah kurma, air zam-zam dan kain jubah imam sumbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sumbangan itu disampaikan Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga, Rosey Yunus bagi pihak Perdana Menteri pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Jabatan Agama Islam (JAIS) Miri di sini petang semalam.

Majlis tersebut yang berlangsung di pekarangan pejabat JAIS di sini turut dihadiri Datuk Sebastian Ting selaku Setiausaha Politik kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, Timbalan Residen Emang Oyo Emang dan Pegawai Agama Islam Bahagian Miri, Jamaluddin Taim.

Bagaimanapun, hanya 18 wakil surau hadir untuk menerima sumbangan itu semalam.

Pada majlis sama, Sebastian menyampaikan dua buah kerusi roda yang merupakan sumbangan peribadinya kepada Abdam Saleman dan Jugah Muyang iaitu Pengerusi Persatuan Engkilili Lubok Antu Miri (PELAM).

Dalam pada itu, menurut pihak penganjur, rumah terbuka ini merupakan salah satu aktiviti tahunan mereka sebagai usaha untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam kalangan kakitangan dan orang awam serta jabatan kerajaan.