Sarikei buru misi Piala Sarawak 2013

0

SARIKEI: Seramai 20 orang pemain serta lima orang pegawai terdiri pengurus pasukan, jurulatih dan penolong jurulatih pasukan Sarikei mengalas cabaran bagi memburu misi kejuaraan Piala Sarawak 2013 di Miri pada awal Oktober ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Sarikei (SDFA), Awangku Persih Pengiran Abu Bakar berkata dengan persiapan rapi serta kekuatan mental para pemain, Sarikei mampu memberikan saingan sengit kepada pasukan-pasukan lain.

Katanya, semua pemain Sarikei kali ini adalah hasil daripada pemilihan pemain-pemain dari kejohanan Liga ‘S’ (Sarikei) NAIM 2012 pada April lalu dan berakhir 15 September lalu.

“Melalui latihan dan penganjuran beberapa perlawanan persahabatan kita yakin Sarikei tampak mantap dan berpengalaman pada kempen Piala Sarawak kali ini,” kata Awangku Perseh pada majlis penyerahan jersi pasukan Sarikei,

semalam. Sementara itu, Pegawai Daerah Sarikei Abang Porkan Abang Budiman yang menyampaikan jersi itu turut memberikan kata-kata semangat kepada pasukan Sarikei dan yakin semua pemain beraksi cemerlang bagi memburu misi mereka.

“Kita berharap setiap pemain mampu mempamerkan imej yang terbaik sepanjang kejohanan dan membawa kejayaan manis buat Sarikei.

“Utamakan displin dan semangat berpasukan dan jangan mudah patah semangat berhadapan dengan setiap cabaran, kerana berbekalkan semangat tinggi adalah sebahagian kemenangan dalam kejohanan,” katanya.

Hadir sama Setiausaha SaFA, Abang Zaini Abang Ismail dan Pengurus Pasukan Piala Sarawak Sarikei, Abdul Samad Hamid.

Piala Sarawak berlangsung di Miri mulai 1 hingga 8 Oktober ini dengan penyertaan sebanyak 16 pasukan dibahagikan kepada empat kumpulan.

Sarikei diletakkan dalam Kumpulan A bersama dengan tiga pasukan yang tidak kurang hebatnya iaitu Bintulu, Betong dan Young Crocs B.