161 pemain berentap aksi tenis

0

KUCHING: Seramai 161 orang pemain bawah 18 ta­hun yang mewakili 29 buah negara bakal berentap pada Kejohanan Remaja Perse­kutuan Tenis Antarabangsa (ITF) Gred 3, Piala Ketua Menteri Sarawak II edisi ke-20 bermula 30 Oktober hingga 4 November depan.

Utusan Borneo melaporkan bahawa kejohanan berprestij itu berlangsung di gelang­gang Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) dan merupa­kan kesinambungan dari ke­johanan sama (Gred 1) yang diadakan pada Mac lalu.

Presiden SLTA, Datuk Patrick Liew berkata biarpun kejohanan itu hanya tahap Gred 3, namun dijangka men­yajikan saingan sengit dengan penglibatan banyak negara yang merupakan jaguh dalam sukan tenis.

Antaranya Australia, Kana­da, China, Republik Chech, Perancis, Jerman, Greece, Britain, New Zealand, Poland, Rusia, Turki dan Amerika Syarikat.

Turut menghantar peny­ertaan adalah tuan rumah Malaysia di samping Mesir, Hong Kong, India, Indonesia, Japan, Kazakhstan, Liech­tenstein, Pakistan, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Taiwan dan Uzbekistan.

“Kejohanan ini menarik minat ramai pemain bertaraf antarabangsa dan SLTA sekali lagi diberi kepercayaan untuk menjadi penganjur,” katanya di sini semalam.

“Kita akan terus mengan­jur kejohanan ini pada masa akan datang, kerana ternyata berjaya melahirkan pemain-pemain tenis yang berbakat.

“Selain itu, juga menjadi pentas untuk mengukuhkan kedudukan di ranking antara­bangsa bagi membolehkan mereka bersaing dalam kejo­hanan yang lebih tinggi dan kompetitif, ” katanya.

Menurut Liew, pengan­juran kejohanan itu turut membantu dalam menjana­kan pendapatan dalam sektor pelancongan.

Katanya, ramai pemain tenis antarabangsa akan ‘berkam­pung’ di Sarawak sepanjang kejohanan itu dan membuka peluang kepada lebih banyak pendapatan dalam sektor terbabit.

“Setakat ini, kita tidak menerima sebarang rungutan sepanjang menganjur kejo­hanan ini. Ini membuktikan SLTA telah berjaya menye­diakan fasiliti yang terbaik dan memuaskan kepada para pemain,” katanya.

Seramai 93 orang pemain lelaki dan 68 wanita akan berentap dalam acara perse­orangan bagi mengukuhkan ranking ITF mereka masing-masing.

Pasukan India menghantar paling banyak penyertaan iaitu 32 orang peserta, mana­kala Malaysia menghantar 15 peserta (10 lelaki dan lima wanita) dengan penampilan empat wakil dari Sarawak.

Mereka ialah Chang Tun Sien dan Low Zhe Han bagi kategori lelaki, manakala Chua Aslina dan Choo Lyn Yuen bagi kategori wanita.

Peserta yang dijangka men­curi tumpuan kali ini ialah Ilkel Cem dari Turki yang menduduki ranking ke-94 ITF. Turut dijangka mem­beri cabaran ialah Mendoza Jurence Zosimo dari Filipina yang berada di ranking 112 dan Nakagawa Naoki dari Jepun di ranking 130.