Berjalan aktiviti fizikal paling mudah, berkesan untuk kesihatan

0

SIBU: Berjalan merupakan senaman atau aktiviti fizikal yang paling mudah dan berkesan untuk kesihatan bagi semua peringkat umur, tidak kira tua atau muda.

Ketua Unit Pengurusan Sekolah Pejabat Pelajaran Daerah Sibu, Joseph Jabu berkata risiko untuk cedera bagi aktiviti berjalan ini jauh lebih rendah berban-ding dengan aktiviti fizikal yang lain.

“Zaman sekarang ini hampir semua kerja rumah atau luar rumah menggunakan mesin, jadi aktiviti fizikal yang diperlukan bagi mengeluarkan peluh, menyegar dan menguatkan badan sangat minimum.

“Oleh itu sebagai ganti, berjalan dijadikan aktiviti fizikal yang boleh mengeluarkan peluh dan seterusnya menyihatkan badan,” katanya ketika merasmikan penutupan Program Walk For Health 2012, di Dewan MUC di sini semalam.

Program itu dianjurkan Unit Bimbingan dan Kaunseling serta Jawatankuasa Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Sibu.

Seramai 57 murid-murid dari tiga buah sekolah rendah iaitu SK Pendidikan Khas Sibu, SK Jalan Deshon dan SK Bandaran Sibu No.3 telah mengambil bahagian.

Hadir sama Guru Besar SK Pendidikan Khas Sibu, Fatimah Zaharah Abdullah dan Pengerusi Program, Habsah Ahad.

Menurut Joseph, banyak kelebihan berjalan sebagai aktiviti fizikal harian seperti baik untuk menyihatkan jantung, dapat merangsang otak dan memperlahan kadar kehilangan jisim tulang.

“Ini juga membantu mengurangkan stres dan kemurungan, menambah jangka hayat sehingga lebih satu tahun serta mampu meningkatkan keyakinan diri,” jelas beliau.

Di samping itu, Program Walk For Health juga salah satu kegiatan bagi menyahut seruan Dasar 1Murid 1Sukan (1M1S) yang mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah.

“Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bermatlamat melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani walaupun murid-murid terbabit dari kumpulan kelainan upaya.

“Justeru dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun,” kata Joseph.

Beliau menambah program itu selaras dengan Dasar Sukan Negara melalui dua strategi iaitu Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan.