Tindakan pihak guna SUPP mensabotaj BR1M2 dikecam

0

SEDIA BANTU: Tan Kai membantu warga emas mengisi borang permohonan BR1M 2.

KUCHING: Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Kai semalam mengecam tindakan segelintir pihak yang dengan sengaja menggunakan nama parti mensabotaj Bantuan Rakyat 1Malaysia Siri Kedua (BR1M2) untuk kepentingan politik mereka.

Calon SUPP untuk kawasan Parlimen Bandar Kuching pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) itu memberitahu, beliau menerima aduan daripada seorang warga emas yang telah dipaksa melalui panggilan telefon agar mendaftar sebagai pengundi atau permohonannya mendapatkan BR1M tidak akan diluluskan.

“Panggilan misteri itu memberitahu dirinya dalam SUPP dan permohonan BR1M tidak akan diluluskan jika pemohon bukan pemohon yang baharu mendaftar (sebagai pengundi),” ujarnya dalam kenyataan akhbarnya semalam.

Tai Kai sehubungan itu berikrar bahawa SUPP akan melihat aduan warga emas itu dengan serius dan menasihati orang ramai terutama pengundi berdaftar agar tidak terpedaya dengan penipuan itu.

“Pemanggil itu memujuk malah mengugut hanya kerana satu objektif iaitu untuk memburuk dan mensabotaj kerajaan Barisan Nasional (BN),” tegasnya.

Sementara itu Tan Kai memberitahu bahawa beliau gembira kepada unit perkhidmatan bergerak di bawah seliaannya yang telah menerima respons menggalakkan daripada orang ramai sejak mula beroperasi tidak lama dahulu.

Beliau berkata penubuhan unit itu sejajar dengan hasratnya untuk mendekati rakyat di peringkat akar umbi dalam usaha memahami dengan lebih baik keperluan mereka dan pada masa sama mencari penyelesaian kepada beberapa isu tempatan.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak seorang pemimpin yang hebat. Beliau memimpin negara ke arah kestabilan dan transformasi.

“Bukan sahaja polisi-polisi diperkenalkan beliau (Najib) akan memberi manfaat kepada semua rakyat tetapi memperkukuhkan lagi dengan pencapaian ekonomi negara,” katanya.

Malam Sabtu lepas Unit Perkhidmatan Bergerak diketuai Tan Kai berada di Pusat Penjaja Song Kheng Hai untuk membantu penduduk di situ mendaftar sebagai pengundi dan pada masa sama mengagihkan borang permohonan BR1M2.

Semalam unit itu berada di Pasar Basah Bintawa.

Program itu turut disertai Setiausaha Agung SUPP Dr Sim Kui Hian serta ahli-ahli parti dari cawangan Kuching dan Pending, cawangan kecil Deshon dan jawatankuasa kecil Jalan Ban Hock.