Kunjungan lima sekawan ke atas rakan berakhir nahas

0

NYARIS MAUT: Kelihatan jururawat sedang merawat salah seorang daripada mangsa. Turut kelihatan keadaan van yang dinaiki kesemua mangsa selepas kemalangan itu.

KUCHING: Kunjungan sehari lima sekawan ke atas seorang rakan mereka berakhir tragedi selepas van yang dinaiki oleh mereka terbabas di Jalan Wan Alwi, awal pagi semalam.

Kesemua mangsa berusia antara 16 hingga 21 tahun dan berasal dari Asajaya dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke kampung selepas mengunjungi rakan mereka di Kampung Kudei ketika kemalangan tersebut berlaku sekitar jam 1.30 pagi.

Kemalangan dikatakan berlaku apabila van Perodua Rusa yang dinaiki oleh mereka tergelincir di atas jalan yang licin sebelum terbabas dan merempuh besi pembahagi jalan.

Bagaimanapun , nasib menyebelahi pemandu (lelaki) van tersebut yang berusia 18 tahun dan seorang gadis berusia 17 tahun yang duduk di tempat duduk hadapan, apabila besi pembahagi jalan itu merobek bumbung van tersebut, nyaris terkena kepala mereka.

Seorang lagi gadis yang berusia 16 tahun dikhuatiri mengalami patah tulang kaki selepas dikatakan tercampak keluar dari dalam van tersebut, manakala dua lagi lelaki berusia 18 dan 21 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

Kesemua mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.