Percepatkan sijil keselamatan kepada SK Pusat Lawas

0

PERIKSA: Henry (kiri) melakukan pemeriksaan di bangunan sekolah baharu SK Pusat di Lawas kelmarin.

LAWAS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri diarah untuk mempercepat proses pemberian sijil keselamatan bangunan melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Lawas agar selamat diduduki oleh para pelajar dan warga guru sebelum sesi persekolahan bermula tahun depan.

Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata bangunan baharu sekolah berkenaan telah pun siap sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun ini namun masih menunggu pemberian sijil keselamatan daripada JBPM Negeri.

Beliau berkata, segala urusan yang menyebabkan kelewatan penggunaan sekolah baharu itu membabitkan pelbagai pihak perlu diselesaikan segera dengan memberi keutamaan kepada kepentingan pembelajaran anak-anak sekolah.

“Kerajaan akan memastikan semua pelajar SK Pusat yang terletak di tengah bandar Lawas dapat menggunakan bangunan baharu sekolah berkenaan yang telah pun siap sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun ini.

“Segala urusan yang menyumbang kelewatan penggunaan sekolah baharu itu harus diselesaikan dengan segera dengan memberi keutamaan kepada kepentingan pembelajaran anak-anak di sekolah baharu terbabit,” katanya ketika melakukan lawatan kerja ke sekolah itu kelmarin.

Turut sama Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Abdul Harris Lakar dan rombongan Kementerian Pelajaran Daerah Lawas.

Pada lawatan itu, Henry turut meluangkan masa meninjau ke beberapa bilik darjah, bilik mesyuarat dan juga bilik guru bagi memastikan segala yang dibina mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Kita perlu insaf melihat kesukaran yang dihadapi oleh pelajar sekolah rendah di Belaga dan juga memastikan kemudahan yang sedia ada ini dapat memberi faedah kepada pelajar kita di Lawas.

“Kita amat berharap pihak Kementerian Pelajaran dapat melihat perkara ini dengan lebih serius,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau mahu karenah birokrasi dikurangkan bagi memastikan segala kemudahan yang disediakan kerajaan dapat digunakan sebaiknya.

“Cubalah kita kurangkan karenah birokrasi walaupun kelihatan bagus, tetapi kesannya secara realiti tidak menguntungkan pihak yang memerlukan sebaliknya memberi ruang kepada berlakunya perkara lain,” katanya.