Lelaki pitam di kandang pertuduhan

0

TAWAU: Prosiding pendakwaan di Mahkamah Majistret di sini kelmarin kecoh seketika apabila seorang lelaki warga tempatan yang berhadapan dakwaan memiliki dadah, pitam beberapa saat sebelum pulih semula.

Difahamkan, insiden itu berlaku semasa kes mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 sedang dibacakan ke atas tertuduh, Yusuf Alyas, 28, atas kesalahannya memiliki syabu seberat 0.02 gram.

Sabit kesalahan mengikut seksyen terbabit, tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori boleh dijatuhkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara hingga lima tahun oleh pihak mahkamah.

Yusuf yang memakai baju kemeja bergaris merah panjang menegak serta berkotak-kotak biru, berseluar jeans biru dan berkasut dilihat rebah seketika semasa berada di dalam kandang pertuduhan.

Majistret Edward Paul meneruskan prosiding selepas Yusuf berdiri semula dan menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,800 atau lima bulan penjara terhadap lelaki terbabit selepas tertuduh mengaku bersalah.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Joan Lee memberitahu mahkamah bahawa Yusuf melakukan kesalahan itu pada 23 Oktober lepas kira-kira jam 12.30 tengah malam di kawasan jalan masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tawau.

Fakta kes menunjukkan pada hari terbabit sepasukan polis menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Kancil nombor pendaftaran WDT 182 dalam keadaan mencurigakan dan mendapati terdapat seorang lelaki (Yusuf) di dalam kenderaan berkenaan.

Hasil pemeriksaan terhadap badan Yusuf, pihak polis berhasil menemui satu paket plastik kecil lutsinar mengandungi ketulan hablur yang disyaki syabu berada di dalam genggaman tangannya.

Pihak polis kemudiannya menahan tertuduh dan hasil laporan dari Jabatan Kimia, Kota Kinabalu mengesahkan bahawa ketulan hablur jernih terbabit mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 0.02 gram.