Ejen pelancongan tidak serius promosi produk, destinasi menarik di S’wak

0

BERI PENERANGAN: Dawos (tengah) menjawab pertanyaan media selepas melancarkan Karnival Tarian Cuti-Cuti Malaysia Peringkat Negeri.

KUCHING: Ejen pelancongan di Sarawak tidak serius dalam mempromosikan produk dan destinasi menarik yang terdapat di negeri ini, kata Timbalan Menteri Pelancongan Datuk James Dawos Mamit.

Beliau berkata, tidak ramai ejen pelancongan negeri yang terlibat dengan persidangan berkaitan yang dianjurkan di luar negara.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pelancong asing tidak begitu mengenali Sarawak berbanding negeri jiran Sabah dan beberapa negeri lain di Semenanjung Malaysia.

“Masalah ejen pelancongan di Sarawak bukanlah disebabkan komunikasi.

“Ini kerana kita bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan Sarawak.

“Ejen pelancongan di Sarawak tidak mahu belanja duit sendiri untuk membayar tambang atau penginapan bagi menghadiri sesuatu persidangan dan pemasaran pelancongan di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Tarian Cuti-Cuti Malaysia Peringkat Negeri semalam.

Dawos menjelaskan, ejen pelancongan di negeri ini sepatutnya merebut peluang untuk menyertai persidangan atau misi pemasaran di luar negara kerana banyak manfaat yang diperolehi.

Menerusi usaha itu tambahnya, mereka akan dapat mengadakan perjanjian dengan ejen pelancongan di luar negara dalam aspek mempromosi Sarawak sebagai destinasi pelancongan menarik.

“Pada tahun lepas semasa berada di Sydney, tiada seorang pun ejen pelancongan Sarawak yang turut serta dalam persidangan,” ujarnya.

Mengulas mengenai kehadiran pelancong ke Sarawak, beliau berkata dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini seramai 3.2 juta pelancong asing dan domestik datang ke negeri ini.

“Daripada jumlah ini, kira-kira 2.1 juta (kehadiran) disumbang pelancong yang majoritinya dari Singapura, Brunei dan Indonesia.

“Ini kerana ada antara mereka datang ke negeri ini untuk menerima rawatan sekali gus meningkatkan pelancongan berteraskan kesihatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurutnya pemain industri pelancongan negeri ini perlu bijak dalam mengenal pasti kehendak rakyat di luar negara.

“Kita perlu tahu apa minat mereka dan tarikan utama. Sekiranya produk menarik dapat diolah dengan baik, sudah pasti mereka akan datang ke Sarawak,” kata Dawos.

Sementara itu, karnival tersebut berjaya menarik penyertaan 2,000 masyarakat pelbagai usia.