Diubah suai, alat timbang peniaga ikan dirampas pegawai PPDNKK

0

KUCHING: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) semalam merampas alat timbang sukat seorang peniaga ikan kerana disyaki telah diubah suai.

Pengarah PPDNKK Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, peniaga berkenaan akan diambil kenyataan dan boleh didakwa di bawah Akta Timbang Sukat 1972 jika didapati bersalah.

“Dalam operasi ini, kita mendapati peniaga berkenaan tidak memperbaharui penentu sah alat timbang yang telah luput 2011.

“Selain itu, kita mendapati alat penimbang dia (peniaga) lebih 500 gram, yang mana dia mampu mendapat keuntungan setengah kilogram daripada pengguna,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Alat Timbang Sukat di Pasar Stutong di sini, semalam.

Wan Ahmad Uzir berkata, kesalahan di bawah akta terbabit membawa denda RM4,000 atau tiga tahun penjara.

“Kita akan ambil kenyataan peniaga terlebih dahulu untuk kertas kerja dan jika didapati bersalah ia boleh didakwa di bawah Akta Timbang Sukat 1972,” tegasnya.

Beliau berkata, operasi yang diadakan itu semalam merupakan hasil aduan daripada pengguna berhubung penipuan dari segi alat timbang sukat peniaga.

Wan Ahmad Uzir menasihatkan pengguna yang mendapati atau mengesyaki berlaku penipuan agar terus membuat laporan kepada kementerian.

“Kita tidak mahu pengguna-pengguna ini membawa balik barang dan kemudian menimbang semula di rumah, yang mungkin tidak sama dengan alat timbang di pasar.

“Kita tidak mahu mereka ini hilang bukti, sebab kalau sudah hilang kita tidak dapat ambil tindakan,” katanya.

Beliau memberitahu pada tahun 2012 di bawah Akta Timbang Sukat 1972 sebanyak 117 kes dicatatkan dengan nilai rampasan RM232,065 di seluruh negeri.

Katanya, Miri merupakan antara bandar yang mencatatkan kes tertinggi iaitu 35 kes dengan nilai rampasan RM196,852.