Ops Daulat kini masuk fasa menstabilkan keadaan, kata Zulkifeli

0

LAHAD DATU: Selepas 28 hari dilancarkan, Ops Daulat yang membabitkan gerakan ofensif disusuli penggeledahan dan pembersihan kini memasuki fasa untuk menstabilkan keadaan.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, fasa ketiga yang bermula kelmarin itu memfokuskan kepada usaha membina keyakinan rakyat terhadap keadaan keselamatan secara keseluruhan.

Beliau berkata, ia juga memfokuskan usaha memudahkan pemindahan penduduk dari pusat-pusat kediaman ke rumah masing-masing, dengan anggota keselamatan turut mendiami kawasan kampung.

“Kita memberi jaminan bahawa pasukan keselamatan akan membantu mereka sehingga yakin untuk melakukan aktiviti harian seperti sebelum ini dan untuk itu, unit-unit dan anggota keselamatan akan berkampung bersama penduduk.

“Dalam fasa ketiga ini, tugas ATM ialah mendampingi dan tinggal bersama penduduk tempatan dan membantu seboleh yang mungkin untuk pastikan kehidupan mereka berlangsung seperti mana sebelum berlakunya pencerobohan,” katanya pada sidang akhbar di markas operasi di FELDA Sahabat 16, dekat sini, semalam.

Zulkifeli berkata, selain mendiami kampung berkenaan, rondaan bersama melibatkan anggota polis juga akan dibuat membabitkan penggunaan kenderaan berperisai.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, dua daripada empat pusat pemindahan sementara iaitu Fajar Harapan dan Gemala Puri ditutup secara rasmi kelmarin, diikuti Cenderawasih dan Embara Budi semalam.

Berikutan kepulangan penduduk ke rumah masing-masing, Zulkifeli berkata Sekolah Kebangsaan Fajar Harapan dan Sekolah Kebangsaan Tanjung Labian yang ditutup sebelum ini akan beroperasi semula mulai Isnin.

Katanya, perkara itu dipersetujui bersama Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud yang kebetulan melawat Sekolah Kebangsaan Fajar Harapan pagi semalam.

“Kami memutuskan kedua-dua sekolah akan dibuka semula. Ibu bapa dan murid-murid digalakkan ke sekolah untuk membantu pihak pengurusan membersihkan sekolah masing-masing sebelum dibuka semula Isnin ini,” katanya. — Bernama