Saturday, July 31

DBKU rancang wujudkan lebih banyak trek basikal

0

KERJASAMA: Dr Faris (empat kiri) menyerahkan borang penyertaan Kayuhan Amal Bersama 2013 anjuran POM kepada Wahap sambil diperhatikan ahli jawatankuasa penganjur lain.

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuhcing Utara (DBKU) merancang untuk mewujudkan lebih banyak trek basikal di negeri ini bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat terlibat dengan aktiviti berbasikal.

Datuk Bandar Kuhcing Utara Datuk Abang Wahap Abang Julai berkata, sekarang terdapat sebuah trek basikal di Petra Jaya yang dibina dengan kos RM624,000.

Menurutnya, kewujudan trek basikal secara tidak langsung akan membolehkan masyarakat menjalankan aktiviti berbasikal dengan lebih selamat.

“Kami merancang untuk mewujudkan lebih banyak trek basikal dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Pada masa ini sudah ada satu (trek basikal) di kawasan Petra Jaya berdekatan Pustaka Negeri dan Masjid Jamek,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat jawatankuasa penganjur Kayuhan Amal Bersama 2013 di sini, semalam.

Hadir sama Presiden Persatuan Ortopedik Negeri (POM) Dr Faris Kamaruddin.

Beliau berkata, kewujudan lorong khas basikal juga antara usaha pihaknya untuk memudahkan masyarakat menjalankan aktiviti berbasikal.

“Kami sudah wujudkan lorong basikal agar masyarakat dapat mengayuh dengan lebih selamat tanpa mengganggu pengguna jalan raya lain,” ujarnya.

Pada masa sama Wahap melihat masyarakt di Kuching amat berminat dengan aktiviti basikal dengan peningkatan bilangan kelab berbasikal.

“Kita dapat lihat apabila ada pertandingan dianjurkan, banyak kelab basikal menyertai.

“Ini merupakan perkembangan positif untuk melahirkan lebih ramai jaguh basikal dari negeri ini,” jelasnya.