K’jaan BN tidak abai mana-mana golongan

0

Generasi muda beruntung k’jaan sedia bantuan, kemudahan bagi keselesaan mereka

SADONG JAYA: Kerajaan Barisan Nasional (BN) terbukti tidak mengabaikan mana-mana golongan terutama dari segi aspek kebajikan rakyatnya.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata generasi muda hari ini amat beruntung kerana kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan bagi keselesaan mereka.

Beliau menjelaskan, Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) adalah antara contoh terbaik bantuan yang diberikan kepada golongan belia.

“Selain BL1M banyak lagi peluang yang disediakan oleh kerajaan kepada generasi muda seperti peluang pekerjaan untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

“Peluang-peluang pekerjaan yang telah ditawarkan ini turut disediakan kepada anak muda di kawasan luar bandar agar mereka tidak ketinggalan berbanding masyarakat bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) di Dewan Masyarakat Kampung Semera di sini semalam.

Pada masa yang sama Fatimah memberitahu, berdasarkan sumbangan yang telah kerajaan BN berikan itu ia memberi kesan penting kepada generasi muda.

“Oleh itu, generasi muda mesti menggunakan hak mengundi dengan bijak serta membuktikan sokongan padu kepada kerajaan sedia ada, “ jelasnya.

Mengenai BL1M itu, Fatimah berharap generasi muda memanfaatkan peluang yang diberikan kerajaan untuk mendapatkan lesen mengikut saluran yang betul.

“Anda semua amat beruntung kerana kerajaan telah memudahkan anda semua dalam proses mendapat lesen, inilah yang dilakukan kerajaan untuk membantu generasi muda dan ia perkara yang patut dihargai,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, bagi memudahkan golongan muda sebanyak 10 lokasi di negeri ini dijadikan tempat untuk BL1M.

Hadir sama pada majlis itu ialah penyandang kerusi Parlimen Batang Sadong Nancy Syukri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Sadong Jaya Aidel Lariwoo.