Anis sentiasa menghargai jasa baik k’jaan BN

0

SIBU: Jasa baik kerajaan dalam membantu rakyat yang kurang mampu, khususnya di luar bandar amat dihargai.

Menyedari jasa baik kerajaan itu menurut Anis Belayau, beliau sentiasa menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Orang berbudi, kita berbahasa,” ujarnya yang membuat bakul daripada tali getah sebagai sumber rezeki bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Anis yang berasal dari Rumah Andieng Balan, Jalan Kemuyang berkata, suaminya yang sebelum ini diserang angin ahmar (strok), merupakan penerima bantuan kebajikan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Oleh itu beliau amat bersyukur dengan bantuan yang dihulurkan kerajaan itu dalam mengurangkan sedikit beban mereka meskipun jumlah RM300 sebulan yang diterima itu tidak mencukupi.

“Sekurang-kurangnya kerajaan membantu meringankan beban hidup kami yang memerlukan. Terima kasih kepada kerajaan BN,” katanya yang telah menganyam bakul sejak 18 tahun lepas.

Anis yang mempunyai tiga orang anak di mana dua daripadanya telah meninggal dunia memberitahu, setiap bakul yang dihasilkan dijual dengan harga RM35 setiap satu, bergantung kepada saiz.

“Inilah punca pendapatan kami sekeluarga memandangkan suami saya tidak lagi bekerja selepas diserang strok.

“Satu-satunya anak saya baharu lepas Tingkatan Lima dan masih belum bekerja,” jelasnya yang ditemuai pemberita, semalam.

Beliau terdahulu ditemui pemberita yang mengikuti rombongan calon BN Parlimen Sibu Vincent Lau yang berkempen di rumah panjang terbabit.

Turut serta ADUN Nangka Dr Annuar Rapaee, Setiausaha Politik Ketua Menteri Andrew Shilling Bangit, Pemanca Stanley Geramong, Penghulu Richard Ampi, Penghulu James Semilan, Penghulu Jeffery Sut serta ahli-ahli Unit Bumiputera Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sibu.