Wilson yakin Parlimen Hulu Rajang kekal dimiliki BN

0

SIBU: Setiausaha Politik Ketua Menteri, Wilson Nyambong Ijang yakin kerusi Parlimen Hulu Rajang kekal milik Barisan Nasional (BN).

Biarpun penyandangnya, Datuk Billy Abit tidak dicalonkan semula untuk mempertahan kerusi tersebut, namun Wilson tetap optimis calon baharu BN, Wilson Ugak Kumbong mampu mempertahan kerusi berkenaan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini, Wilson Ugak ditentang dua calon lain iaitu George Lagong dari SWP dan calon PKR, Abun Sui.

Wilson yang juga Ketua Penerangan Parti Rakyat Sarawak (PRS), keyakinan BN juga turut bertambah apabila pencalonan Ugak sebagai calon turut direstui Billy.

Ini kerana, Billy faham bahawa rakyat kaum Orang Ulu masih memerlukan BN untuk membantu mereka ke arah kehidupan yang lebih cerah.

“Setakat ini, kempen kita berjalan lancar dan mendapat respons yang sangat baik di kalangan rakyat Hulu Rajang.

“Selain itu, saya juga belum melihat bahawa pencalonan George Lagong mahupun Abun Sui memberi impak besar terhadap Ugak bagi mempertahan kerusi Parlimen berkenaan,” katanya ditemui sejurus selepas merasmikan Hari Permuafakatan SMK Sibu Jaya semalam.

Justeru, Wilson menggesa pengundi kawasan Hulu Rajang yang tinggal di Sibu Jaya supaya pulang mengundi dan memberi sokongan padu kepada Ugak.

Menurut Wilson, undi mereka sangat penting yang bukan sahaja untuk memastikan kemenangan BN tetapi menang dengan majoriti besar.

Untuk rekod, hampir separuh penduduk yang menghuni bandar baru Sibu Jaya adalah berasal dari Kapit dan Song.