Khairi ‘Raja’ Litar Samarahan

0

KAMI JUARA: Ismail (tengah) bersama para pemenang Kejohanan Motocross Malaysia AAM 2013 di Kota Samarahan, Ahad lepas.

KOTA SAMARAHAN: Mohammad Khairi Zakaria bergelar Raja Litar Samarahan MX Track selepas menjuarai kategori MX Terbuka dalam pusingan pertama Kejohanan Motocross Malaysia AAM 2013 kelmarin.

Dengan kemenangan itu, Khairi dari Johor yang menunggang motocross bernombor empat (no.4) berjaya mengutip mata penuh (50 mata) sekali gus membawa pulang piala dan wang tunai sejumlah RM3,000.

Sementara itu, tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi dua penunggang dari negara jiran Indonesia, Mashuri dan Ely Ashar.

Naib juara dan tempat ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000 dan RM1,000 berserta piala.

Manakala bagi kategori MX 125, penunggang dari Indonesia, Mashuri berjaya menewaskan dua pencabar terdekatanya, Syahrizan Shambeda dari Sabah dan Idzam, Brunei.

Dalam kategori MX Veteran Terbuka pula, Zakaria Muri dari Johor berjaya menewaskan Jamil Abdul Karim (tempat kedua) dan Ling Lee Ching (tempat ketiga) untuk bergelar juara.

Kategori ‘Scramble’ Terbuka pula gelaran juara dan naib juara dirangkul oleh penunggang dari Indonesia Ely Ashar dan Rudy Hartono.

Manakala tempat ketiga disandang penunggang kelahiran Selangor, Muhammad Mukhlis Basri.

Pengurus Pasukan Indonesia, Willys Halim meluahkan rasa gembira atas pencapaian anak-anak buahnya yang berjaya mendominasikan setiap kategori yang dipertandingkan pada kejohanan itu.

“Mereka telah melakukan yang terbaik dan keputusan yang dicatatkan amatlah memberangsangkan dan cemerlang,” katanya.

Seramai 60 penunggang motocross tempatan termasuk dari Semenanjung Malaysia, Brunei dan Indonesia berentap pada kejohanan dua hari itu.

Majlis penyampaian hadiah di sempurnakan oleh Residen Bahagian Samarahan Mohd Ismail Hanis mewakili Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar), Abdul Karim Rahman Hamzah.

Pusingan kedua kejohanan itu bakal berlangsung di Litar Motocross Miri pada 26 Mei depan.