Mukhriz mulakan tugas baharu sebagai MB Kedah

0

SELAMAT BERTUGAS: Mukhriz (kanan) ketika melawat Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah sambil ditemani Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Rasli Basir (dua kanan) pada hari pertama beliau memulakan tugas sebagai Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman di Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir semalam memulakan tugas baharunya sebagai Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman di sini tepat jam 9 pagi.

Mukhriz, 49, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam menggantikan Datuk Seri Azizan Abdul Razak (PAS) sebagai menteri besar setelah Barisan Nasional (BN) berjaya menawan semula Kedah dengan memenangi 21 kerusi daripada 36 kerusi DUN.

Ketibaan beliau di Wisma Darul Aman berpakaian sut hitam pada jam 8.45 pagi, disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (SUK) Datuk Rasli Basir, Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Kedah Helmi Yahya dan kakitangan pejabat Menteri Besar.

Mukhriz diberikan taklimat ringkas mengenai Pejabat Menteri Besar oleh SUK selama 30 minit di tingkat tiga, pejabat baharunya itu.

Ketika berada di pejabat-nya, beliau sempat berseloroh: “Sekarang kosong saja atas meja, tengok dua minggu lagi tinggi dengan fail nanti”.

Beliau juga sempat me-luangkan masa melawat bilik mesyuarat DUN.

Mukhriz, bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kota Baharu, memiliki ijazah dalam bidang Pengurusan Perniagaan di Sophia University, Jepun pada 1982 dan bidang International Marketing di Boston Unversity pada 1987.

Pada Pilihan Raya Umum 2008 beliau memenangi kerusi Parlimen Jerlun dan pada 2009 dilantik sebagai timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Pada awal 2011, Mukhriz dilantik sebagai timbalan pengerusi Badan Perhubungan UMNO Ne-geri Kedah dan timbalan pengerusi BN Kedah.

Pada PRU13 Ahad lalu, Mukhriz memenangi kerusi DUN Ayer Hitam setelah menewaskan calon Abd Ghani Ahmad daripada PAS dengan majoriti 2,446 undi. — Bernama