Pelajar M’sia mudah lanjut pengajian jika matrikulasi diiktiraf

0

KUCHING: Pelajar matrikulasi akan lebih mudah melanjutkan pengajian di universiti luar negara jika inisiatif Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk memperluas penarafan dan pengiktirafan Program Matrikulasi di peringkat antarabangsa berhasil.

Pengarah Bahagian Matrikulasi KPM Dr Sariah Abdul Jalil berkata inisiatif tersebut adalah di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) bermula tahun 2013 hingga 2025 dan akan diluluskan oleh badan pengiktirafan terkemuka di Amerika Syarikat (AS).

“Apabila kita mendapat pengiktirafan ini maka pelajar kita boleh memohon untuk melanjutkan pengajian di mana-mana universiti luar negara.

“Mereka (pelajar) kita akan menjadi lebih popular dan boleh diambil secara automatik,” katanya pada sidang media selepas sesi Taklimat Waris Kolej Matrikulasi Sarawak (KMS), di sini semalam yang turut dihadiri oleh Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

Menurut Dr Sariah, kelulusan pengiktirafan tersebut diharap dapat dicapai pada tahun ini.

“Kami akan pergi ke AS pada September bagi membawa kriteria Program Matrikulasi untuk dinilai oleh badan pengiktirafan di sana dan keputusan ‘ya’ atau ‘tidak’ adalah ditentukan oleh mereka,” katanya.

Sementara itu, Dr Sadiah berkata selain di universiti tempatan, Program Matrikulasi setakat ini telah mendapat pengiktirafan di 18 universiti luar negara iaitu di AS, Australia, New Zealand dan Indonesia.

Ia adalah University of Birmingham, University of Nottingham, University of Surrey, King’s College London, University of Manchester, University of Southampton, University of Sheffield dan Athlone Institute of Technology (AS), University of Sydney, University of New South Wales, University of Adelaide dan Monash University (Australia), University of Wellington (New Zealand), Universitas Sumatera Utara, Universitas Andalas, Universitas Sriwijaya, Universitas Padjajaran dan Universitas Gajah Mada (Indonesia).