Monday, October 21

PRS dipersalahkan atas kejadian bot ekspres karam

0

PRS gagal bawa pembangunan infrastruktur terutama jalan akses ke Kapit amnya, Belaga khasnya
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus George Lagong berkata Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang harus dipersalahkan atas kejadian bot ekspres karam di Belaga baru-baru ini.

Beliau berkata PRS telah gagal berkhidmat dan membawa pembangunan infrastruktur asas terutama pembinaan jalan akses ke Kapit amnya dan Belaga khasnya.

“Sudah berpuluh tahun rakyat di Kapit meminta (kerajaan) membina jalan akses di situ tetapi PRS tidak melakukan apa-apa untuk membantu atau memastikan permintaan rakyat di situ dipenuhi.

“Saya sudah berulang kali mengingatkan PRS dan kerajaan mengenai perkara ini sejak hari pertama saya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Ngeri (ADUN) Pelagus,” katanya dalam kenyataan akhbarnya semalam.

Malah ADUN Pelagus terdahulu iaitu Larry Sng ujarnya telah berulang kali mengemukakan permohonan projek jalan untuk menghubungkan Kapit dengan bandar-bandar utama di Sarawak tetapi sehingga kini tiada apa-apa dilakukan.

Beliau berkata demikian bagi memberi maklum balas kepada kenyataan Pemuda PRS yang mendakwa beliau (George) tidak turun padang atau melawat lokasi kejadian bot ekspres karam di Belaga.

“Bermula hari pertama insiden iaitu pada 28 Mei 2013 saya telah menghantar sekumpulan orang saya ke lokasi kejadian termasuk Tuai Rumah Bujah Ejau dari Nanga Pelagus, Batang Rajang membantu mangsa-mangsa menggunakan kemudahan milik saya.

“Rakyat dari perkampungan serta rumah panjang di kawasan saya tidak merungut (saya tidak ada di sana) kecuali PRS,” katanya.

Sabtu lepas sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris melaporkan bahawa Ketua Pemuda PRS Pelagus Ellison Silo Bilun berkata George tidak kelihatan melawat lokasi kejadian sejak hari pertama insiden berlaku pada 28 Mei 2013.

Kenyataan Ellison itu disokong oleh Ketua Pemuda PRS Belaga Kennedy Chuk Pai  dan Ketua Pemuda PRS Baleh Bakat Gira.

Menurut mereka George tidak berada di lokasi kejadian untuk memberi kata semangat kepada mangsa dan keluarga serta tidak berada di lokasi kejadian, tempat pasukan mencari dan menyelamat berkhemah.

“Saya melihat menteri kabinet negeri dan pusat datang melawat lokasi kejadian serta memberi sokongan moral kepada pasukan mencari dan menyelamat, sedih untuk nyatakan, YB George Lagong tak muncul sehingga sekarang (Jumaat),” kata Chuk Pai.