Hina Agong: Pemuda UMNO Ipoh Barat dan 19 NGO membuat laporan polis

0

IPOH: Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat dan 19 badan bukan kerajaan (NGO) di Perak semalam membuat laporan polis berhubung tindakan dua individu yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Sungai Senam di sini pada kira-kira jam 1 petang semalam.

Antara NGO berkenaan adalah Persatuan Belia Islam Perak, Persatuan Belia 4B Parit, Persatuan Melayu Manjoi, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Perak, Persatuan Panca Indra Seni Silat Lintar Malaysia dan Persatuan Arah Terpuji Sah-siah.

Dalam akaun Facebook-nya seorang wanita yang menamakan dirinya Melissa Gooi dan pemilik akaun Twitter yang memegang nama Twithandle@10Befiend atau dikenali sebagai Effi Obefiend didakwa menghina Tuanku Abdul Halim.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi yang mewakili kumpulan itu berkata perbuatan mereka ini seolah-olah mencabar institusi Perlembagaan Diraja selain dianggap sebagai rasis yang melampaui batas.

“Mereka ini perlu dilucut-kan kerakyatan. Sekiranya perbuatan sebegini tidak dibendung, sikap biadap mereka ini akan menganggu-gugat keamanan, ketenteraman dan perpaduan kaum di Malaysia,” katanya.

Beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan tidak bertanggungjawab dua individu terba-bit. — Bernama