Impian ‘Nenek Midin’ tercapai jua

0

MENJADI KENYATAAN: Lee menyampaikan surat kelulusan tanah kepada Ani semasa berkunjung ke terataknya di Tudan, semalam.

MIRI: Ani Saat atau lebih dikenali sebagai ‘Nenek Midin’ di kalangan penduduk kampung di Tudan tidak dapat menahan perasaan gembira apabila impiannya memiliki sebidang tanah untuk mendirikan rumah akhirnya menjadi kenyataan selepas 10 tahun menanti.

Surat kelulusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Tanah dan Survey (JTS) itu diserahkan oleh Menteri Muda Perhubungan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin yang melawat Ani di Skim Penempatan Tudan Fasa II di sini, semalam.

Ani memberitahu, dia berterima kasih dengan keprihatinan Lee yang tidak putus-putus memberi bantuan kepadanya terutama dalam mendapatkan permohonan tanah.

“Dengan adanya tanah ini, saya dapat mendirikan rumah yang lebih selesa dan kukuh berbanding teratak sekarang yang sudah usang dan dibina di atas tanah orang lain,” katanya yang tinggal di situ dengan cucunya.

Menurut Ani, dia terhutang budi dengan Lee yang sentiasa datang menjenguknya terutama semasa perayaan dan memberi hamper makanan serta duit raya untuk meringankan beban mereka sekeluarga.

Sebelum ini, Ani turut tersenarai sebagai penerima bantuan membaiki rumah di bawah program Nadi Kasih yang dikendalikan oleh Pejabat Residen Miri.

Ani yang sebelum ini menggunakan air perigi turut menerima bantuan tangki air fiber.

Sementara itu, Lee turut menyampaikan bantuan atap zink kepada tujuh keluarga miskin di Tudan Desaras bagi menggantikan atap rumah mereka yang bocor dan meninjau keadaan rumah Jackson Manggai di Desa Indah 3.