RM20 juta diperuntuk bina empat blok asrama Tatiuc

0

KUALA TERENGGANU: Sebagai persediaan untuk menjadi sebuah universiti penuh menjelang 2016, kira-kira RM20 juta diperuntukkan bagi membina tambahan empat blok asrama baharu di Kolej Universiti Tati (Tatiuc) di Kemaman.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib berkata penambahbaikan kemudahan prasarana dan infrastruktur di kolej universiti itu dijangka boleh menampung kapasiti sehingga 1,000 pelajar pada satu-satu masa.

“Ia selaras dengan pertambahan pelajar yang semakin meningkat ke Tatiuc. Jumlah pelajar pada tahun ini ialah 1,200 orang.

“Daripada jumlah itu, seramai 800 pelajar peringkat Diploma akan memulakan pengajian pada 30 Jun ini manakala 400 pelajar peringkat Ijazah akan mendaftar pada September,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara Tatiuc dan Shougang Institute of Technology (SGIT) dari China di sini semalam.

Tatiuc yang dahulunya dikenali sebagai Institut Lanjutan Teknikal Terengganu (Tati) ditubuh pada 11 Jun 1993 dengan tujuan menghasilkan teknokrat yang berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan terkini.

Sementara itu, Timbalan Rektor Hal Ehwal Korporat dan Jaringan Industri Tatiuc, Datuk Zulkifli Mohamad berkata keupayaan Tatiuc dalam melahirkan graduan berkualiti terbukti apabila ramai di antara mereka mendapat tempat di pasaran kerja sebaik sahaja menamatkan pengajian.

“Bagi tujuan memantapkan lagi persediaan pelajar sebelum ke industri, Tatiuc menjalin kerjasama strategik dengan syarikat industri dari dalam dan luar negara.

“Kami juga kini berusaha memenuhi syarat-syarat yang diperlukan untuk standard universiti penuh seperti bilangan pelajar, kekuatan dari segi mutu akademik dan 20 peratus tenaga akademik Tatiuc juga mestilah terdiri daripada pemegang ijazah doktor falsafah,” katanya.

Melalui Pelan Strategik Tatiuc 2012-2016 yang dilancarkan tahun lepas, kolej universiti itu juga menggariskan lapan strategi yang harus dilaksanakan bagi memastikan hasrat menjadi sebuah universiti penuh tercapai. — Bernama