Kadar residivis rendah

0

Pencapaian baik atasi sasaran KDN hasil sokongan keluarga, NGO

KUCHING: Hanya 2.66 peratus kadar residivis atau kemasukan kembali bekas banduan ke penjara direkodkan bagi penjara-penjara di Sarawak setakat tahun ini, kata Pengarah Penjara Sarawak Timbalan Komisioner Penjara Abd Kadir Rais.

Beliau berkata, kadar tersebut menunjukkan perkembangan baik sekali gus berada di bawah sasaran 10 peratus yang ditetapkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi penjara-penjara di negeri ini.

“Ini adalah hasil sokongan yang baik daripada keluarga serta rakan-rakan seperti NGO dan agensi ke-rajaan lain,” ujarnya sambil menambah, setakat ini terdapat seramai 1,162 penghuni di enam penjara seluruh negeri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jalinan Kasih Gawai Dayak 2013 Zon Sarawak di Penjara Puncak Borneo yang me-nempatkan seramai 389 penghuni, semalam.

Kadir mewakili tetamu kehormat majlis, Ahli Parlimen Mambong merangkap Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr James Dawos Mamit.

Sementara itu, Dawos menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Kadir berkata, antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kadar residivis ialah keengganan keluarga menerima mereka semula.

“Usahlah menyisihkan penghuni penjara ini hanya disebabkan mereka pernah melakukan kesalahan pada masa lampau, sebaliknya bantulah mereka dengan memberi peluang kedua untuk berubah menjadi individu yang lebih bertanggungjawab,” katanya.

Program Jalinan Kasih Gawai Dayak 2013 memberi peluang kepada penghuni Penjara Puncak Borneo yang terpilih untuk berjumpa dengan anggota keluarga mereka secara bersemuka.

Seramai 10 penghuni terpilih iaitu mereka yang berkelakuan baik, tiada tindakan tatatertib, lebih daripada satu tahun jangka hukuman dan sebelum dua tahun dibebaskan.

Justeru, Dawos menyifatkan menerusi program seumpama itu, hubungan penghuni dengan keluarga dapat dieratkan dan secara tidak langsung proses pemulihan diri penghuni dapat dilaksanakan.

Turut hadir Pengarah Penjara Puncak Borneo Penolong Komisioner Penjara Fathi Mursidi.