PPM rampas 1,064 liter petrol dan diesel

0

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau merampas 1,064 liter minyak petrol dan diesel bersubsidi yang ditinggalkan di kawasan Batu-Batu, Sabindo di sini Jumaat lepas yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah, kejayaan itu dicatatkan semasa empat anggota PPM Tawau menjalankan tugas rutin Operasi Landai kira-kira jam 6 petang pada hari terbabit.

“Sebanyak 38 gelen minyak berisi petrol dan diesel bersubsidi ditemui yang disyaki ditinggalkan,” katanya dalam kenyataannya yang dibacakan Pegawai Pemerintah PPM Tawau, ASP Krishnan Ramasamy di sini kelmarin.

Awang berkata anggota PPM Tawau bertugas juga menunggu selama hampir satu jam di lokasi terbabit namun tidak ada pihak yang tampil membuat tuntutan sebagai pemilik barangan berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata minyak diesel itu diisi ke dalam 36 gelen sementara petrol terbabit pula diisi ke dalam dua gelen yang kesemuanya berkapasiti sehingga 28 liter dan dianggarkan bernilai RM1,971.20 berdasarkan pasaran semasa.

Menyentuh perkembangan berasingan, beliau mendedahkan pihak PPM Tawau turut berjaya mematahkan cubaan penyeludupan barangan kawalan menerusi feri penumpang sekali lagi pada hari yang sama kira-kira jam 4 petang.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan di ruang kargo dan bagasi, anggota kita menemui sebanyak 1,130 kg gula pasir dan 150 kg tepung pelbagai jenis melibatkan nilai rampasan sekitar RM3,185 mengikut harga pasaran semasa,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan kesemua hasil rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan susulan.

Menurutnya, pihak polis khususnya PPM Tawau akan sentiasa menggiatkan usaha menangani kegiatan penyeludupan keluar-masuk menerusi daerah ini dan berharap orang ramai akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa membasmi aktiviti sedemikian.