Belawai alami peningkatan ekonomi: Len Talif

0

UNTUK ALBUM: Frankie (berdiri dari lima kiri) bersama Lim, Len Talif, Wong merakam kenangan bersama peserta dan ahli jawatankuasa penganjuran.

SIMBOLIK PERASMIAN: Len melontarkan tali pancing sebagai simbolik perasmian acara Pertandingan Memancing Shimano kelmarin.

MEMBERANGSANGKAN: Seramai 294 peserta menyertai Pertandingan Memancing Shimano Belawai tahun ini.

TANGKAPAN TERBAIK: Penduduk dan para peserta melihat hasil tangkapan sepuluh terbaik sebelum ditentukan keputusannya.

WAJAH JUARA: Ahli bersama anaknya bergambar bersama piala kemenangan, kelihatan cukup gembira.

Kini berupaya menjadi destinasi pelancongan khususnya bagi para pemancing dari luar

SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belawai Datu Len Talif menyatakan pembangunan yang berlaku di Belawai dalam tempoh lima tahun lalu telah memacu peningkatan ekonomi tempatan malahan kini berupaya menjadi destinasi pelancongan khususnya bagi para pemancing.

“Dengan pembinaan jalan yang menghubungkan orang ramai dari kawasan sekitarnya maka tidak hairanlah semakin bertambah pengunjung khususnya dari Sibu untuk menjalankan aktiviti rekreasi di sini.

“Melalui penganjuran sebegini, penghargaan harus kita berikan kerana ia menjadi lonjakan utama kepada promosi Belawai sebagai destinasi utama memancing malahan menjadikan ia bandar ceria serta meningkatkan perniagaan penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucapanmerasmikan Pertandingan Memancing Shimano Pantai Belawai Kedua di sini, kelmarin.

Menyentuh mengenai pertandingan itu, beliau mengharapkan lebih ramai penyertaan pada edisi akan datang.

Katanya dengan adanya naik taraf kemudahan yang dilaksanakan kini diharap lebih ramai orang akan berkunjung ke Belawai untuk melakukan aktiviti rekreasi.

Sementara itu,menurut Pengerusi Kelab Memancing Sibu Wong King Uieng, edisi kali ini jauh lebih baik berbanding sebelumnya jika dilihat dari segi kualiti penangkapan oleh para peserta.

“Keadaan kali ini berbeza, mungkin disebabkan faktor air laut yang elok untuk tangkapan ikan, malah ada peserta yang berjaya mendapatkan ikan hingga mencecah berat empat kilogram seekor.

“Ini merupakan perubahan positif yang dapat kita capai kali ini. Malah secara keseluruhannya jawatankuasa mahupun para peserta cukup teruja dan gembira kerana hasil tangkapan menampakkan pelbagai jenis ikan yang jarang ditangkap pada edisi sebelum ini,”ujarnya kepada Utusan Borneo di sini.

Tambahnya, edisi kedua menampilkan kelainan apabila peserta hanya diberi masa selama tiga jam iaitu dari jam 8 pagi hingga tengah hari, berbeza dengan tahun lepas iaitu seawal jam 8 pagi hingga jam 2 petang.

“Tujuannya ialah untuk memberi keselesaan kepada setiap peserta berdasarkan pengalaman lepas, peserta akan mengambil masa rehat pada pertengahan masa pertandingan disebabkan cuaca terlalu panas.

“Kami telah mengambil alternatif ini dan perjalanan program dilihatkan berjalan lebih lancar dan tersusun,” jelasnya.

Beliau berkata ikan yang paling berat dimenangi oleh peserta kategori B iaitu Ahli Unia yang membawa pulang RM1,000 dengan trofi manakala hadiah khas untuk ikan yang paling berat ditangkap.

Turut hadir pada majlis wakil Shimano Singapura Lim Ee Tat dan pengerusi penganjur Frankie Ting.

Sementara itu, Ahli, 45, menyatakan rasa gembira kerana memenangi pertandingan tersebut apabila berjaya memperoleh ikan terusan seberat 4.005 kg.

“Penyertaan pertama pada edisi lalu tidak membuahkan hasil dan pertandingan edisi kedua lebih memberi nasib yang lebih baik kepada saya.

“Saya amat bersyukur dengan hasil yang saya perolehi,” katanya yang merupakan seorang nelayan persendirian dan mula memancing sejak kecil.

Dalam kategori B, naib juara hingga tempat ke-10 adalah milik Toony Lau Yat (995 gram ikan yu), Iskandar Che Jaib (870g sembilang), Sidet Jam (830g bulugan), Laini Sah (790g sembilang), Wong Ing Hang (780g bulugan ), Faishal Lebeni (740g sembilang ), Ahmad Fauzan Lebeni (660g sembilang ), Wan Jamaluddin Husaini (640g bulugan) dan Wong Tiu Nang (610g buntal).

Manakala saingan kategori A (menggunakan produk Shimano) juara hingga tempat kesepuluh dimenangi Tonny Lau Chung Yat ( 995g yu), Iskandar Che Jaib (870g sembilang), Sidet Jam (830g bulugan), Wong Ing Hang (780g bulugan), Faishal Lebeni (740g sembilang), Ahmad Fauzan Lebeni ( 660g sembilang ), Wan Jamaluddin Husaini (640g bulugan), Wong Sie King (610g bulugan), Tang Chiok Hoon (590g terusan), dan Ling Ching Ang (515g bulugan).

Acara yang dianjurkan oleh Kelab Memancing Sibu dengan kerjasama Kelab Rando Belawai menyaksikan peningkatan penyertaan seramai 294 peserta berbanding edisi lalu dan Shimano adalah antara penaja utama pertandingan.