PEPSAR anjur Kejohanan Petanque Antara Kelab

0

BINTULU: Persatuan Sukan Petanque Negeri Sarawak (PEPSAR) akan menganjur Pertandingan Petanque Antara Kelab Kali Ke-4 dan Piala Borneo Kali Ke-3 sempena sambutan 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia pada 14 dan 15 September ini di Gelanggang Petanque Kelab Kidurong Bintulu.

Presidennya, Janudin Ab Rahman berkata, pertandingan Petanque dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Bintulu, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Pejabat Belia dan Sukan Bintulu itu merupakan acara tahunan persatuan-persatuan petanque sejak mula dianjurkan oleh Persekutuan Petanque Brunei pada tahun 2010.

Beliau berkata, Petanque Piala Borneo Ke-3 pula adalah pertandingan petanque yang membabitkan pertemuan terbuka pemain dari Brunei, Sabah, Sarawak dan Kalimantan di lokasi yang telah dipersetujui.

Katanya, tujuan lain pertandingan itu memperkenal sukan petanque ke peringkat antarabangsa dan untuk memajukan sukan petanque di Sarawak dan Malaysia khasnya, memupuk semangat kerjasama antara pemain dan untuk mengeratkan hubungan silturahim antara pemain dari negara luar.

Pertandingan petanque antara kelab yang dipertandingkan adalah khusus untuk kategori beregu sahaja manakala Piala Borneo merangkumi kategori berpasukan iaitu perseorangan, beregu, beregu campuran dan tiga pemain, piala perdana dan loser pool.

Katanya, yuran penyertaan bagi setiap pasukan yang menyertai pertandingan petanque antara kelab ialah RM100.

Majlis perasmian pertandingan akan disempurna Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip pada 14 September, jam 10 pagi di Kelab Kidurong dan majlis penyampaian hadiah akan disempurna oleh Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan pada 15 September jam 4 petang di Dewan NPC Kelab Kidurong Bintulu.

Untuk mendapatkan borang penyertaan boleh menghubungi Setiausaha Kehormat PEPSAR, Dayang Badariah Abang Yakub di talian 019-8243007 dan tarikh tutup penyertaan ialah pada 13 September.