Pengunjung berpuas hati dengan pameran hartanah

0

KUCHING: Pengunjung berpuas hati dengan pameran hartanah yang diadakan pada Ekspo Perumahan dan Hartanah Sarawak (SARBEX) 2013 bermula 10 pagi hingga 9 malam sejak 20 hingga semalam (22 September) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Kuek berkata, beliau amat tertarik dengan paparan dan nasihat yang diperolehi daripada penceramah feng shui yang memberi tip lokasi dan pelbagai nasihat berkaitan pembelian hartanah.

“Walaupun ini kali pertama saya datang ke SARBEX tetapi ia amat baik kerana banyak memberi maklumat tentang pembelian hartanah untuk mereka yang berminat untuk membeli,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar lebih banyak pemaju menyertai dan berkemungkinan memperkenalkan hartanah di luar negara yang boleh dibeli oleh rakyat Malaysia.

Bagi Lim Hui Jui, 32, beliau sentiasa melawat SARBEX setiap kali ia diadakan untuk mengetahui perkembangan semasa hartanah.

Beliau mendapat maklumat lengkap mengenai banyak hartanah yang dimajukan pemaju perumahan di sini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) yang juga pengerusi penganjur SARBEX 2013 Sim Kiang Chiok berkata pihaknya menyasarkan 15,000 pengunjung berbanding 13,000 pada tahun sebelumnya.

Menurut beliau, terdapat kira-kira 120 ruang pameran dari Sabah dan Sarawak, Semenanjung Malaysia dan luar negara di ekspo tersebut melibatkan agensi kerajaan dan NGO seperti KWSP, CIDB, Kementerian Perumahan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Antara program lain diadakan sempena SARBEX adalah ceramah dengan kerjasama REHDA mengenai pengenalan kepada pensijilan dan standard penarafan alternatif hijau bagi Malaysia.

Program derma darah turut dilaksanakan dengan kerjasama Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi menampung keperluan Tabung Darah HUS.

“Program ini bermula 10 pagi hingga 4 petang semalam dan orang ramai diminta hadir bagi bersama-sama melakukan kerja amal ini,” katanya.

Sementara itu, program gunting rambut amal pula diadakan pada 20 hingga 22 September dari 1 petang hingga 5 petang yang mana orang ramai hanya perlu menderma sekurang-kurangnya RM10.

Sim memberitahu, wang yang berjaya dikumpul akan diserahkan kepada Persatuan Ibu Bapa Kanak-kanak Keperluan Istimewa Sarawak (PIBAKAT).

Malah, orang ramai yang berkunjung di Ekspo SARBEX Total Living juga boleh mendapatkan khidmat urut orang buta yang diadakan pada 20 hingga 22 September dan semua hasil kutipan amal akan diserahkan kepada Pertubuhan Orang Buta Sarawak.

“Bagi mereka yang gemar dengan aktiviti fotografi, kami turut mengadakan aktiviti ini dengan hanya perlu menderma RM20, pengunjung akan mendapatkan gambar bersaiz 5R secara percuma dan wang amal terkumpul akan diagihkan kepada PIBAKAT,” katanya lagi.