Profil Kampung perlu untuk rujukan semua pihak: Harden

0

UNTUK KEMUDAHAN: Harden (tengah), Samuel (duduk dua kiri) dan Sawing (kiri) bersama ketua-ketua masyarakat Iban pada sesi dialog dan perjumpaan di Sri Aman kelmarin.

SRI AMAN: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini perlu menyediakan ‘Profil Kampung’ untuk tujuan rujukan masa depan, kata Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Muda Perumahan Datuk Francis Harden Hollis.

Menurutnya, penyediaan profil kampung di sesebuah kampung mahupun rumah panjang amat penting kerana ia merupakan satu-satunya bahan rujukan utama JKKK mahupun agensi kerajaan.

“Pada zaman dahulu, profil kampung tidak dititikberatkan kerana hanya disediakan untuk kegunaan JKKK sahaja tetapi kini profil berkenaan menjadi bahan rujukan JKKK mahupun agensi kerajaan,” katanya pada sesi dialog dan perjumpaan bersama 30 orang ketua-ketua kaum Iban bagi kawasan bandar Sri Aman di sini kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, penyediaan sesebuah profil kampung harus dirancang dengan teliti kerana setiap pengisiannya adalah perancangan tempoh lima tahun akan datang.

Ini bermakna, katanya penyediaan profil kampung adalah merangkumi semua aspek termasuk sejarah rumah panjang mahupun lokasi kampung, kegiatan ekonomi, prasarana, fizikal, pencapaian kampung serta senarai penduduk miskin tegar, ibu tunggal, anak yatim serta orang kurang upaya (OKU).

“Bukan setakat itu sahaja, info masalah kampung, anak kampung yang berjaya serta berjasa kepada kampung juga amat diperlukan dalam profil tersebut,” katanya.

Justeru, setiap ahli JKKK perlu duduk semeja dan berbincang bersama-sama untuk menyediakan profil kampung untuk JKKK serta agensi-agensi kerajaan terlibat.

Agensi kerajaan seperti Pejabat Residen, Pejabat Daerah serta Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) amat memerlukan profil kampung kerana ia merupakan agensi bertanggungjawab.

“Bukan setakat agensi tersebut, kita sebagai wakil rakyat juga amat memerlukan profil kampung sebagai rujukan sekiranya hendak mengadakan sesuatu program di sesebuah rumah panjang mahupun kampung terpilih,” katanya.

Dalam pada itu, Harden berharap setiap JKKK perlu menyediakan minit mesyuarat atau laporan tahunan untuk rujukan mereka.

“Daripada laporan tersebut, ahli JKKK dapat mengetahui aktiviti yang dilaksanakan dan belum dilaksanakan sepanjang tahun dan dapat merancang aktiviti memajukan JKKK sendiri,” katanya.

Hadir sama Pemanca Samuel Lawen, Kaunselor Sawing Sumar dan Ketua Pemuda SUPP Simanggang Patrick Michael.

Pada majlis sama, Harden menyampaikan 30 unit Komputer Riba 1Malaysia kepada ketua-ketua masyarakat.