Pesara buru inspirasi di sebalik lensa kamera

0

MINAT: Abdul Rahman bersama koleksi kameranya yang menggabungkan jenis lama dan baharu.

PADA usia memasuki 61 tahun ketika ini, beliau tidak gemar sekadar duduk di rumah menghabiskan masa menonton rancangan-rancangan yang disajikan di televisyen.

Abdul Rahman Abdullah, seorang pesara swasta, memilih untuk memenuhi ruang masa terluang dalam bidang seni fotografi dengan mengambil gambar pelbagai genre.

Jika dilihat dari segi kamera dan peralatan yang dimiliki, dia amat meminati fotografi dan serius mendalaminya.

Ditanya bagaimana beliau boleh meminati bidang fotografi, Abdul Rahman menjelaskan ia bermula apabila dilantik menjadi Setiausaha Kelab Fotografi di sekolah Three Rivers, Mukah sekitar tahun 1970.

“Hampir setiap hari saya berada dalam bilik gelap di sekolah mencuci gambar.

“Dari situlah minat saya terhadap fotografi bermula,” ujarnya yang mengimbau kamera pertama dimilikinya adalah sebuah kamera plastik dan beliau tidak mengingati lagi jenamanya.

Bagaimanapun setelah memasuki alam kerjaya, beliau kurang aktif dalam fotografi dek kesibukan tugas.

Bekas pegawai kastam yang kemudiannya menyertai Petronas itu aktif semula setelah bersara.

Bukan sekadar berminat merakamkan apa sahaja imej, beliau juga pengumpul koleksi kamera lama yang rela berhabisan wang ringgit semata-mata untuk memilikinya.

SUASANA PAGI DI KAMPUNG NELAYAN BUNTAL, KUCHING

Jenama kamera yang dimilikinya termasuklah Ricoh, Minolta, Zenit, Yashica, Nikon, Canon dan lain-lain yang diibaratkan permata yang tidak terbanding nilainya bagi beliau.

Setakat ini beliau memiliki lebih 10 jenis kamera.

“Kamera lama cuma untuk koleksi peribadi walaupun masih dapat digunakan.

“Itu kegemaran saya,” ujarnya menambah dua kotak tidak muat untuk menyimpan koleksi kameranya.

Apabila ada masa terluang, Abdul Rahman menyertai rakan-rakan yang turut memiliki hobi fotografi merakamkan gelagat manusia, keindahan alam sekitar, budaya masyarakat, landskap, kembara dan lain-lain genre fotografi.

Dalam proses akhir sesuatu gambar, dia menggunakan perisian mudah tanpa memani-pulasikan gambar asal.

“Saya suka gambar asli seperti yang diambil dan cuma diproses untuk mengemaskannya,” jelasnya yang menggunakan kamera DSLR Canon 5D MK lll dan kamera ‘mirrorless’ NEX-6.

Jika keluar rumah, kamera tidak pernah renggang dari tangan, ujarnya sambil menam-bah saat-saat me-narik muncul tanpa diduga.

Tim-balan Presiden QBC itu, sebuah kelab fotografi di Kuching, berpendapat dunia fotografi lebih indah jika dinilai dari aspek keindahan alam sekitar kerana beliau kurang gemar dengan fotografi potret peragaan.

 

 ‘PHOTO WALK’

 

“Jika disuruh ambil gambar air terjun, saya rela masuk hutan.

“Saya cuma minat ambil gambar potret yang memaparkan kedut-kedut di wajah. Bagi saya pelbagai cerita di sebalik potret sebegitu,” jelasnya.

Walaupun demikian, beliau tetap menghormati genre fotografi potret peragaan yang digemari jurugambar lain kerana pada pendapatnya terpulang kepada hak dan minat masing-masing.

Minatnya terhadap fotografi landskap dan jalanan diterjemahkan menerusi penganjuran program Photo Walk (Worldwide Photo Walk) Sabtu ini.

Worldwide Photo Walk dikendalikan serentak di 1,300 lebih bandar di seluruh dunia melibatkan puluhan ribu penggiat seni fotografi.

Program yang diketuainya itu akan menyaksikan para peserta merakamkan gambar sepanjang perjalanan bermula dari Kompleks Pelancongan Sarawak yang juga dikenali bangunan mahkamah lama, menuju ke Tebingan Kuching, Square Tower, Pangkalan Batu, Jalan Main Bazaar, Lebuh Carpenter, Lebuh India, Bishop Gate dan lokasi lain sekitar pusat bandar.

“Penyertaan program tersebut terhad untuk 50 orang dan Hadiah lumayan menanti peme-nang,” ujarnya sambil menambah, program bermula jam 8.30 pagi.

Mereka yang berminat boleh mendaftar di talian dengan melayari http://worldwidephotowalk.com/walk/kuching-sarawak-malaysia-clock-tower-of-the-old-court-house/.

GELAGAT KANAK-KANAK MANDI SUNGAI

Selain itu, beliau akan menganjurkan program Pictorial Tour Kuching untuk Persatuan Seni Fotografi Petaling Jaya (PSPJ) penghujung Oktober ini.

Abdul Rahman yang aktif berpersatuan itu berkata, akitiviti tersebut akan diadakan selama empat hari dua malam.

Beliau berpendapat, selain dijadikan hobi, fotografi boleh menjana pendapatan, misalnya, dengan menawarkan khidmat semasa majlis perkahwinan, fotografi kewartawanan, jualan foto melalui Photostock dan sebagainya.

Kebanyakan rakan-rakannya juga peminat fotografi dan mereka sama-sama berbincang baik di dunia maya mahupun di kedai kopi untuk memilih lokasi dijadikan penggambaran.

Antara rakannya ialah bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Salleh Sulaiman, pemilik syarikat produksi Dr Kamil Salem, saudara Pharo Abdul Hakim dan pesara tentera Mohd Saiful Sakim.

“Fotografi menjadikan saya aktif dan mewujud-kan rangkaian sosial di kalangan ‘orang pencen’ macam saya, dan golongan muda,” ujarnya menutup bicara ringkas pagi Jumaat lepas di rumahnya di Kuching.