Pemimpin muda dalam PBB semakin matang berpolitik

0

Tiada pertandingan rebut jawatan Ketua Pemuda pada Konvensyen PBB akan datang adalah buktinya: Pandi

KUCHING: Tiada pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda pada Konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-13 menunjukkan pemimpin muda parti semakin matang berpolitik.

Naib Ketua Pemuda PBB Pandi Suhaili berkata, pada masa sama ia dilakukan untuk terus mengukuhkan perpaduan dalam parti yang tersemai sejak penubuhannya.

Menurutnya, ia juga merupakan tradisi PBB yang mana jawatan tertinggi parti termasuk Ketua Pemuda tidak ditandingi.

“Kemenangan Ketua Pemuda (Datuk Fadillah Yusof) tanpa bertanding memang dialukan dan ia menyerlahkan kematangan berpolitik di kalangan ahli Pergerakan Pemuda,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambah Pandi, kemenangan tanpa bertanding Ketua Pemuda amat penting bagi mengelak berlaku perpecahan.

“Kalau berlaku pecah-belah, sukar untuk kita bersatu balik.

“Jadi kita patut terus beri sokongan kepada Ketua Pemuda agar program memperkasa Pemuda dapat dijalankan dengan lancar,” ujarnya.

Ketua Pemuda PBB Padungan Haidel Heli pula menyifatkan kemenangan tanpa bertanding jawatan Ketua Pemuda merupakan kesinambungan kepada usaha terus memperkasa sayap tersebut.

“Ini menunjukkan keyakinan Pergerakan Pemuda terhadap Ketua Pemuda (Fadillah) untuk mencorak pelbagai program bagi memperkasa dan mengukuhkan perjuangan Pemuda,” jelasnya yang juga calon Naib Ketua Pemuda PBB.

Sementara itu Ketua Wanita PBB Dato Sri Empiang Jabu juga menang tanpa bertanding.

Menurut Timbalan Ketua Wanita PBB Datuk Fatimah Abdullah,  kemenangan itu menunjukkan sayap Wanita memberi keutamaan kepada perpaduan parti.

“Kita tidak mahu berlaku perpecahan sekiranya ada pertandingan merebut jawatan ketua wanita.

“Ia merupakan usaha untuk terus mengukuhkan perpaduan sayap Wanita,” kata Fatimah.

Jumaat lepas Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Konvensyen Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dipetik sebagai berkata, Ketua Pergerakan Pemuda dan Wanita PBB kekal disandang masing-masing Datuk Fadillah Yusof dan Dato Sri Empiang Jabu.

Ia memandangkan tiada pertandingan untuk kedua-dua jawatan tersebut pada Konvensyen PBB Ke-13 akan datang.