‘Jimmy’ dapat pasangan baharu?

0

‘PASANGAN BAHAGIA’: Burung enggang jantan, ‘Jimmy’ (kiri) dan pasangannya, ‘Juliet’ kelihatan ‘bermesra’ dan berkongsi makanan di Taman Semulajadi Kem Piasau. — Gambar ihsan Osmat Amit (MNS)

MIRI: Pasangan burung enggang yang diberi nama ‘Jimmy’ dan ‘Juliet’ dijangka akan menambahkan lagi populasi burung berkenaan di Taman Semulajadi Kem Piasau Camp di sini.

Renjer Kehormat Sarawak Forestry Corporation (SFC), Musa Musbah memberitahu jangkaan itu dibuat berdasarkan pemerhatian beliau terhadap kedua-dua ekor burung berkenaan yang dilihat kerap datang dan meninjau kawasan sarang lama yang pernah didiami oleh enggang betina, ‘Faridah’ sebelum burung tersebut mati dibunuh oleh pemburu.

“Ini adalah petanda yang amat baik yang menunjukkan kedua-dua ekor burung terbabit berminat membuat sarang untuk membolehkan pasangannya bertelur dan tinggal di dalam sarang sehingga telurnya menetas.

“Justeru, bagi tujuan untuk tidak mengganggu kedua-dua ekor burung tersebut, kawasan di sekitar Rumah 58 tersebut telah pun dibina pagar, untuk mengurangkan gangguan daripada orang ramai yang melakukan riadah termasuk berjogging di kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau yang turut membuat kajian terhadap burung serta fauna dan flora di kawasan tersebut berkata kebiasaannya burung enggang akan berpasangan sekali seumur hidup mereka.

Bagaimanapun, jelasnya, ‘Jimmy’ pula menunjukkan tanda-tanda menerima kehadiran burung betina ‘Juliet’ dan pasangan kerap dilihat terbang dan menghabiskan masa bersama, ‘bermesra’ serta berkongsi makanan yang diperolehi.

Sebelum ini mereka menjangkakan ‘Jimmy’ akan bersikap dingin dengan burung betina lain, selepas pasangan seumur hidupnya ‘Faridah’ ditangkap dan dibunuh pemburu baru-baru ini, berdasarkan kepada kajian terhadap burung enggang tersebut.

Malah, Musa yang juga Pengerusi Kelab Alam Sekitar Malaysia (MNS) Cabang Miri berkata pihaknya juga berjaya merakamkan gambar-gambar menarik pasangan baharu itu.

Dalam perkembangan yang sama, beliau juga merayu agar ada pihak yang sudi menaja kos untuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) 24 jam di Kem Piasau bagi memudahkan tujuan pemuliharaan dan kajian dilakukan.

Sehingga kini, masih belum ada pihak yang menyuarakan hasrat untuk menaja pemasangan sistem berkenaan yang menelan kos berjumlah RM5,000, ujar Musa yang merupakan ahli jawatankuasa protem taman berkenaan.

Justeru mereka yang berminat boleh menghubungi beliau menerusi talian 016-8746127 untuk pertanyaan lanjut.

Sementara itu mereka yang berminat untuk menyertai Program ‘Hornbill Walk’ Ke-5 di Kem Piasau Camp  boleh menyertai jawatankuasanya pada Sabtu ini, bermula jam 4.30 petang. Penyertaan adalah percuma.