Tuesday, September 27

Bomba, TLDM juara futsal perkhidmatan awam

0

TAHNIAH: Sudarsono menyampaikan piala pusingan kepada Pengarah Bomba Sarawak, Nor Hisham Mohammad setelah pasukannya muncul juara kategori lelaki pada Kejohanan Futsal Sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam 2013 di Kota Sentosa semalam.

KUCHING: Pasukan Bomba muncul juara kategori lelaki setelah menumpaskan pasukan Landas 5-0 pada perlawanan akhir Kejohanan Futsal Sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam 2013 di pusat sukan di Kota Sentosa semalam.

Manakala pasukan TLDM muncul pemenang bagi kategori wanita setelah menewaskan Polis melalui tendangan penalti pada perlawanan akhir.

Kedua-kedua pasukan yang menjuarai kategori masing-masing menerima piala pusingan, piala iringan, pingat serta hadiah wang tunai.

Hadiah para pemenang disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Datu Sudarsono Osman.

Sudarsono berkata, kerajaan menggalakkan kakitangan perkhidmatan awam supaya mengamalkan budaya hidup sihat dengan melibatkan diri di dalam akitivti sukan dan rekreasi melalui penyediaan kemudahan sukan dan rekreasi di seluruh negara.

“Menerusi Bajet 2012, kerajaan menyediakan gelanggang futsal di setiap mukim di seluruh negara yang menunjukkan kesungguhan kerajaan prihatin terhadap kesihatan rakyat selari dengan slogan Rakyat Sihat Negara Selamat,” katanya.

Sebanyak 50 pasukan daripada 45 agensi dan jabatan kerajaan menyertai kejohanan tersebut yang menyaksikan 120 perlawanan diadakan selama dua hari bertujuan mengeratkan hubungan di antara kakitangan perkhidmatan awam persekutuan.

Sudarsono yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani turut memberitahu bahawa beliau bercadang untuk menambah jumlah penyertaan pada tahun hadapan di samping menjadikannya sebagai acara tahunan.

“Saya ingin mencadangkan agar kejohanan ini diadakan sebagai acara tahunan dengan penglibatan lebih ramai agensi dan jabatan kerajaan kerana ia melambangkan penyatuan bagi pihak-pihak yang terlibat.

“Penganjuran kejohanan futsal sebegini juga mampu meningkatkan disiplin di kalangan kakitangan di dalam usaha membentuk pasukan yang mantap selain mengejar kejuaraan pertandingan,” jelasnya.

Beliau turut memberitahu, penganjuran kejohanan yang julung kali diadakan merupakan satu kebanggaan kerana ia menunjukkan hasil kerja yang jitu dan pengurusan yang cekap.

“Kejohanan ini juga amat bermakna kerana ia mampu membentuk warga perkhidmatan awam yang mempunyai daya saing dan komitmen yang tinggi.

“Di samping itu, program seperti ini juga memberi peluang kepada kakitangan daripada agensi dan jabatan berlainan mengenali antara satu sama lain dengan lebih erat,” katanya.