Jiran Wanita harus rancang aktiviti untuk capai matlamat

0

PENGHARGAAN: Jong (barisan depan, empat kiri) menyampaikan penghargaan kepada Diana sambil disaksikan oleh Lau (barisan depan, tiga kanan) serta yang lain.

MIRI: Ahli-ahli Jiran Wanita di kawasan-kawasan Rukun Tetangga (RT) di bahagian ini perlu merancang pelbagai aktiviti secara berterusan bagi memastikan organisasi mereka sentiasa aktif di samping mencapai matlamat penubuhannya iaitu mengeratkan semangat kejiranan.

Penolong Pegawai Perpaduan Bahagian Miri, Diana Seliman memberitahu semakin banyak aktiviti dianjurkan di kejiranan mereka, maka semakin ‘sibuk’ keadaan dan situasi di kawasan penempatan tersebut, sekali gus boleh menghalang kegiatan jenayah daripada berlaku.

“Ini kerana, apabila sesebuah kawasan penempatan tersebut tampak sibuk dan terang dengan pelbagai acara, ia boleh mematah niat jahat seseorang yang ingin melakukan jenayah seperti mencuri, pecah rumah dan sebagainya.

“Ini kerana kemeriahan di sesebuah kejiranan itu sekali gus menjadikan kawasan berkenaan semakin aman dan harmoni,” katanya sambil memberitahu ia bukan sahaja akan mencapai matlamat penubuhan sesebuah RT, malah membantu mengurangkan berlakunya jenayah di kawasan kejiranan tersebut.

Beliau memberitahu demikian semasa berucap pada majlis perpisahan dengannya yang dianjurkan oleh Jiran Wanita, RT Taman Hilltop di sebuah hotel di sini, kelmarin.

Majlis perpisahan itu diadakan bagi meraikan dan mengucapkan selamat jalan kepada Diana yang berpindah tugas ke Jabatan Perpaduan Bintulu.

Dalam perkembangan berkaitan, Diana mahu Jiran Wanita Taman Hilltop supaya meneruskan aktiviti-aktiviti mereka khususnya yang banyak memberi manfaat kepada penduduk setempat dan telah berjaya mewujudkan perpaduan dan kerjasama yang kukuh di kalangan penduduk di kawasan RT Taman Hilltop.

Diana juga berterima kasih dan mengagumi kepimpinan Pengerusi Jiran Wanita Taman Hilltop, Lau Ai Nyuk yang begitu aktif dalam menganjurkan pelbagai aktiviti khususnya membabitkan Jiran Wanita.

“Jiran Wanita Taman Hilltop di bawah pimpinan Lau (Ai Nyuk) adalah antara jawatankuasa yang sentiasa aktif di Miri dan menganjur banyak acara yang memberi manfaat kepada penduduk seperti tarian amal untuk Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), lawatan-lawatan sosial dan majlis-majlis makan malam sempena musim perayaan sesebuah kaum,” katanya lagi.

Beliau memberitahu aktiviti yang dianjurkan itu ternyata berjaya merapatkan hubungan baik dan perpaduan antara pelbagai kaum yang bukan sahaja tinggal di Taman Hilltop, malah dengan RT yang lain di bandar raya ini.

Terdahulu, Lau dalam ucapannnya berterima kasih kepada Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) khususnya Diana, yang telah banyak memberi sokongan dan nasihat dalam penganjuran aktiviti-aktiviti oleh Jiran Wanita itu.

“Tunjuk ajar dan bimbingan beliau selama ini, adalah kunci kepada kejayaan aktiviti- aktiviti yang dianjurkan oleh Jiran Wanita Taman Hilltop,” katanya sambil menambah, ia termasuk usaha mereka mengadakan aktiviti sejajar dengan matlamat dan keperluan penubuhan RT sesebuah kawasan.

Hadir sama pada majlis makan malam tersebut ialah Pengerusi RT Taman Hilltop, Nicholas Jong serta ahli-ahli jawatankuasa RT dan Jiran Wanitanya.

Diana, sebelum berpindah ke Bintulu, telah mencurahkan khidmatnya dengan JPNIN di sini sejak lebih enam tahun lalu dan berharap akan kembali semula ke Miri suatu hari kelak.