Rakyat harus bantah, tolak ideologi pendesak guling kerajaan

0

KUCHING: Sebagai rakyat yang cintakan keamanan dan keselamatan negara, rakyat diajak membantah serta menolak ideologi segelintir rakyat yang mahu mengguling kerajaan dan mendesak Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud meletak jawatan.

Aktivis Sosial Wan Zain Syed Mohdzar berkata kenapa harus kita menimbulkan suasana huru-hara padahal negara ini berada dalam keadaan aman damai dan rakyat hidup selesa dengan penuh keharmonian.

“Kita sepatutnya membantu kerajaan memantapkan kesejahteraan rakyat agar kesatuan bangsa kita semakin kukuh dan teguh, justeru tidak dapat dimusnahkan orang lain,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberi komen atas beberapa laporan polis yang dibuat Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta persatuan-persatuan lain mengenai isu berkenaan.

Wan Zain menegaskan, berdemonstrasi dan membantah di jalanan bukan budaya masyarakat Malaysia.

Tambahnya, jika ini berlaku sudah tentu ia tidak berkesudahan dan rakyat terus hidup dalam keadaan yang tidak selamat.

“Beberapa negara di dunia dan kerajaan yang digulingkan rakyat hidup tidak selamat seperti Iraq, Mesir serta negara jiran, Thailand dan setiap hari terjadi pembunuhan terhadap rakyat yang tidak berdosa,” ujarnya.

Beliau menarik perhatian bahawa semua insiden yang berlaku dengan demonstrasi akan tidak berkesudahan.

Malah, ekonomi negara kita terjejas dan pendidikan anak bangsa terganggu.

Justeru katanya, keselamatan negara juga akan tergugat lantas memudahkan negara kita diceroboh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab.

Mengenai desakan agar Taib meletak jawatan, beliau mendakwa ia satu tuntutan yang tidak masuk akal bagi sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan.

“Rakyat telah memilih untuk Taib terus memimpin negeri ini.

“Jawatan itu dipilih dan dilantik oleh rakyat melalui parti majoriti dalam proses pilihan raya.

“Ketua Menteri (Taib) telah berjanji untuk berundur dan sudah tentu itu pasti terjadi setelah pemimpin pelapis bersedia mengambil alih tugas beliau pada masa akan datang.

“Malah, Sarawak membangun di bawah kerajaan yang diterajui Taib sejak sekian lama, justeru tiada sebab mengapa kita harus mendesak supaya beliau meletak jawatan,” katanya.