Pelajar Jurusan Perniagaan ditemui mati di rumah sewa di Desa Senadin

0

BERSELERAK: Ruang tamu kediaman mangsa berselerak dipercayai dipecah masuk pencuri.

MIRI: Pelajar Jurusan Perniagaan ditemui mati oleh rakan serumahnya selepas balik bercuti di rumah sewa mereka di Desa Senadin, di sini petang semalam.

Mangsa berusia 19 tahun, berasal dari Sandakan, Sabah ditemui dalam keadaan berlumuran darah berdekatan tangga dalam rumah sekitar jam 2 petang.

Mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kediaman mangsa dipercayai telah dipecah masuk melihat kepada keadaan rumah dan bilik yang berselerak.

Rumah dua tingkat itu didiami bersama empat rakan lain, dua dari Sabah, seorang dari Johor dan seorang dari Bintangor yang juga telah balik bercuti.

Ketua Polis Daerah (KPD) Miri, ACP Mun Kock Keong mengesahkan menerima laporan kes ini yang diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.