Penunggang motosikal maut diseret lori sejauh lima meter

0

SANDAKAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang  ditungganginya bertembung dengan sebuah lori sebelum diseret kira-kira lima meter di KM 38 Jalan Labuk, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Azaruddin Daud, 47, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marong berkata ketika kejadian mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Bandar Sandakan untuk pulang ke Kampungnya di Balaban Jaya, Beluran.

“Mangsa dipercayai mengelak daripada melanggar lubang di jalan tersebut lalu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori treler,” katanya di sini semalam.

Menurut beliau, pembonceng motosikal itu, seorang wanita yang belum diketahui identitinya turut mengalami cedera parah dan dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan.

Beliau berkata pemandu lori berusia 50 tahun itu telah menyerah diri dan membuat laporan polis di Balai Polis Trafik Sandakan.

Rowell berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mereka yang menyaksikan kejadian berkenaan diminta tampil membantu polis dalam menjalankan siasatan. — Bernama