Mantap pelancongan serantau

0

TERBAIK: (Dari kiri) Setiausaha Agung Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Ong Hong Peng, Mohammed Nazri, Abang Johari dan Pengerusi Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia Datuk Seri Ng Yen Yen ketika melawat ruang pameran Sarawak Forestry Corporation (SFC) pada Majlis Perasmian Persidangan Pelancongan ASEAN 2014 di BCCK, semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

Negara anggota ASEAN diseru tangani bidang penting, tingkat kedatangan pelancong

KUCHING: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohammed Nazri Abdul Aziz berkata, beberapa bidang penting perlu ditangani bersama oleh negara anggota ASEAN untuk memantapkan lagi potensi pembangunan pelancongan di rantau itu.

Bidang yang dimaksudkan beliau ialah aksesibiliti dan perhubungan, pembangunan produk-produk pelancongan pelayaran berinovatif dan pelancongan berasaskan sungai.

Justeru, ujarnya, Persidangan Pelancongan ASEAN (ATC) 2014 memberi fokus kepada perkongsian kepakaran, pengalaman serta kejayaan negara anggota dalam bidang-bidang berkenaan.

“Kita semua (negara anggota ASEAN) sudah tentu mendapat manfaat daripada perkongsian kepakaran, pengetahuan dan kejayaan dalam pengangkutan udara, darat, pelayaran, laut dan sungai.

“Sesi panel bermula hari ini (semalam) akan menyediakan rundingan serta pandangan mengenai aksesibiliti dan perhubungan serta pembangunan produk pelancongan pelayaran termasuk pelancongan berasaskan sungai,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Perasmian ATC 2014 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Mohammed Nazri berkata, isu-isu berkenaan perlu ditangani bagi membolehkan negara anggota ASEAN menerima kedatangan pelancong antarabangsa yang dijangka meningkat pada kadar 3.3 peratus setahun.

Beliau berkata, peningkatkan itu berdasarkan kajian ‘Pelancongan Menuju 2030 – Gambaran Global’ 2010-2030 yang dilakukan Organisasi Pelancongan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO).

Oleh itu, katanya, kedatangan pelancong diramal meningkat daripada 940 juta pada tahun 2010 kepada 1.8 bilion pada 2030.

“Ini akan menyumbang kepada pengembangan saiz pasaran sebanyak 900 juta pelancong antarabangsa menjelang 2030. Manakala bagi wilayah Asia Tenggara, pelancongan domestik diunjur meningkat sebanyak 5.1 peratus setahun.

“Oleh itu, persidangan ini sangat penting kepada pembuat dasar, pemain industri, ahli akademik dan penganalisis media kerana kita mencari jawapan, pendekatan dan strategi untuk menerokai perkembangan pasaran pelancongan pada masa akan datang,” ujarnya.

Menurutnya lagi, banyak negara anggota ASEAN termasuk Malaysia memilih pembangunan pelancongan sebagai salah satu tonggak utama pertumbuhan ekonomi serta negara.

“Isu-isu yang kita (negara anggota ASEAN) hadapi ialah bagaimana ASEAN dan APEC (Forum Ekonomi Asia Pasifik) memaksimumkan potensi pelancongan dan jawapannya ialah kerjasama yang berlandaskan tema ‘Memajukan Pelancongan Bersama.’

“Menerusi kerjasama ini, kita boleh membentuk sinergi, membangunkan skala ekonomi dan saling melengkapi antara satu sama lain,” jelasnya.

Mohammed Nazri berkata, pelancongan bukan sekadar menjana pendapatan ekonomi tetapi penyumbang terbesar kepada alam sekitar mapan.

Beliau berkata, dengan pelaburan yang betul, pelancongan boleh menjadi ejen perubahan utama kepada ‘Ekonomi Hijau’ memacu pertumbuhan ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan tanpa menjejaskan alam sekitar.

Untuk mencapai objektif itu, katanya, negara anggota ASEAN harus mempunyai perancangan rapi selain aspek penting iaitu bekerjasama meningkatkan persefahaman, penyertaan dan komitmen rakyat di wilayah itu dan dunia.