Friday, January 21

Pasangan penipu menyamar sebagai pegawai JKM ditahan

0

KAKI TIPU: Suspek lelaki yang disyaki terbabit dalam kes tipu direman empat hari bagi membantu siasatan polis.

SIBU: Sepasang suami isteri berjaya ditahan oleh polis di sebuah rumah di Jalan Kemuyang kerana disyaki menyamar sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada malam Isnin lalu.

Menurut sumber, pasangan tersebut yang berumur dalam lingkungan 40-an disyaki menggunakan taktik menyamar sebagai pegawai JKM yang kononnya mampu membantu golongan warga tua dan janda untuk memohon wang bantuan kerajaan sebagai ‘modus operandi’ mereka.

Difahamkan, pasangan tersebut akan meminta mangsa- mangsa mereka untuk mengeluarkan semua wang simpanan mereka daripada akaun simpanan agar permohonan dapat diluluskan.

Kebanyakan mangsa yang tidak arif mengenai syarat-syarat sebenar permohonan wang bantuan kerajaan mudah tertipu.

Selepas mangsa mengeluarkan kesemua wang daripada akaun, mereka dikehendaki menyerahkan wang mereka kepada ‘pegawai’ berkenaan untuk disimpan di akaun sementara.

Menurut fakta kes, mangsa akan ditinggalkan selepas wang yang dikeluarkan daripada akaun mangsa diserahkan kepada penipu.

Baru-baru ini, tiga mangsa telah membuat laporan polis berhubung kes tipu seumpamanya.

Bertindak daripada maklumat, polis telah menjalankan siasatan dan menyerbu sebuah rumah di Jalan Kemuyang pada malam Isnin lalu.

Dua suspek berkenaan berjaya ditahan dan diheret ke balai untuk membantu siasatan polis berhubung kes tipu tersebut.

Pasangan suami isteri berbangsa Iban tersebut telah diperintah reman selama empat hari bermula kelmarin.

Polis percaya pasangan tersebut mempunyai beberapa individu yang terlibat sama dan masih bebas menjalankan kegiatan menipu.

Menurut laporan, kerugian yang ditanggung oleh mangsa tipu daripada tiga kes berkenaan dianggarkan mencecah RM20,000.