Pihak guna laman sesawang fitnah pemimpin dikecam

1

KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengecam keras tindakan pihak yang menggunakan laman sesawang sebagai wadah untuk melemparkan fitnah dan memburuk-burukkan pucuk kepimpinan negeri.

Ketua Pemuda PBB Datuk Fadillah Yusof berkata, terdapat pihak tidak bertanggungjawab menggunakan laman sesawang bagi mengumpul petisyen untuk dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membantah cadangan pelantikan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak selepas melepaskan jawatan Ketua Menteri Sarawak pada 28 Februari ini.

Beliau menegaskan, ia bertentangan dengan kehendak dan hasrat suara majoriti rakyat Sarawak sendiri yang mahukan pelantikan berkenaan sebagai tanda penghormatan kepada Taib yang banyak berjasa kepada negeri Sarawak.

“Pemuda PBB menganggap tindakan pihak berkenaan yang menggunakan laman sesawang berkenaan untuk membuat pelbagai andaian berbaur fitnah terhadap Pehin Sri Abdul Taib sebagai keterlaluan dan harus dikecam.

“Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap pucuk kepimpinan negeri Sarawak yang juga presiden PBB itu tidak berasas sama sekali dan lebih bermotifkan kepentingan politik,” katanya menerusi kenyataan akhbar diMenteri Kerja Raya itu memberitahu bahawa Taib mempunyai rekod cemerlang menerajui Sarawak selama 33 tahun, malah berjaya melonjakkan ekonomi Sarawak dengan menyaksikan sejumlah RM28 bilion pelaburan sudah diterima di Koridor Tenaga Diperbaharui (SCORE) setakat ini.

Fadillah menambah, SCORE juga diyakini akan meletakkan Sarawak sebagai negeri terkaya di Malaysia.

“Justeru Pemuda PBB menganggap pihak berkepentingan yang cuba memburuk-burukkan pucuk kepimpinan negeri Sarawak, sebenarnya cemburu dengan kekuatan Barisan Nasional (BN) di Sarawak, kemakmuran dan keharmonian yang dinikmati rakyat berbilang kaum di Sarawak,” tegasnya.

Malah, beliau memberitahu bahawa pihak terbabit sanggup melakukan apa sahaja cara bagi memburuk-burukkan kepimpinan cemerlang Ketua Menteri Sarawak dan bagi mencapai cita-cita politik mereka.

“Pemuda PBB yakin rakyat Sarawak tidak mahu pihak luar yang menentukan siapa patut menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan siapa patut menjadi Ketua Menteri Sarawak,” katanya.

Namun, Fadillah berkata Pemuda PBB menjunjung prinsip kesetiaan kepada Raja dan Negara dan akur siapa sahaja yang bakal dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong ke jawatan berkenaan.

“Lantikan jawatan itu adalah hak dan atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.