Lelaki cuba lerai gaduh cedera ditikam di perut

0

KUCHING: Gara-gara cuba meleraikan satu pergaduhan, seorang lelaki cedera di perut akibat ditikam dengan pisau, petang kelmarin.

Menurut sumber, insiden tersebut berlaku di Kampung Paya Mebi di sini sekitar jam 5 petang ketika suspek yang berusia 17 tahun bergaduh dengan adik mangsa yang baharu berusia 14 tahun.

Ekoran itu, mangsa yang turut berada di tempat kejadian cuba meleraikan pergaduhan tersebut, tetapi sebaliknya ditikam di perut oleh suspek menyebabkannya rebah.

Orang ramai yang berada di tempat kejadian segera mendapatkan mangsa serta menghubungi pihak ambulans.

Bagaimanapun, mangsa yang berusia 21 tahun itu dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Hasil maklumat orang awam, suspek kemudian berjaya ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Pauzi Bujang semasa dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

“Suspek sudah ditahan dan akan direman hari ini (semalam),” katanya.

Dalam satu kejadian berasingan, seorang pesara wanita tampil membuat laporan polis mendakwa diragut ketika baharu memasuki keretanya di Jalan Petanak, Padungan di sini petang kelmarin.

Menurutnya, insiden berlaku ketika dia baharu menghidupkan enjin keretanya di mana dia didatangi seorang lelaki bertopi keledar penuh yang terus mencekik lehernya.

Mangsa yang lemah diperlakukan sedemikian tidak mampu melawan suspek yang berbadan besar dan peluang tersebut digunakan suspek untuk meragut beg tangannya sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.

Antara yang terkandung di dalam beg tangan mangsa ialah dokumen peribadi, tele-fon bimbit, kad bank dan wang tunai RM600 serta wang tunai matawang asing.

Mangsa kemudian pergi ke balai polis berhampiran untuk melaporkan insiden tersebut dan pihak polis masih menjalankan siasatan.