12 rumah panjang di Ulu Machan bakal dihubungkan dengan dunia luar

0

KANOWIT: Sebanyak 12 rumah panjang atau kira-kira 1,000 penduduk di Ulu Machan bakal dihubungkan dengan dunia luar setelah projek Jalan Ulu Machan yang sedang dilaksanakan ketika ini siap kelak.

Menteri Muda Pelancongan (Acara dan Produk) Datuk Gramong Juna berkata, dengan adanya projek jalan raya itu penduduk di Ulu Machan tidak perlu lagi menggunakan perahu panjang untuk ke pekan Machan atau pekan Kanowit.

“Apabila projek jalan ini siap kelak, perjalanan penduduk di sini ke pekan Ma-chan hanya memakan masa 15 minit sahaja.

“Ini pasti akan melancarkan lagi pelbagai pembangunan lain yang dilaksanakan di sini setelah projek ini siap kelak,” ujarnya semasa berucap menyempurnakan perasmian tapak projek Jalan Ulu Ma-chan dan tapak rumah panjang baharu Rumah Petay Sibok di Nanga Sepitok, Machan dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang, Pegawai Penerangan Daerah Kanowit Wan Mohd Zuki Wan Ismail, Pemanca Spencer Kudang, Penghulu Lawrence Melaka dan Tuai Rumah Petay.

Menurut Gramong yang juga Menteri Muda Kemajuan Tanah, penduduk di situ menghadapi kesukaran apabila berlakunya musim kemarau berikutan keadaan air sungai yang cetek.

“Mereka terpaksa menarik perahu kerana sungai yang cetek dan ini dilihat sesuatu yang menyukarkan malah boleh mengundang bahaya.

“Pelaksanaan projek jalan raya di Ulu Machan ini pasti akan membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada penduduk di sini.

“Justeru, saya menyeru mereka agar memanfaatkan segala peluang yang ada bagi meningkatkan lagi taraf hidup diri sendiri,” tegasnya.

Sementara itu, beliau mengingatkan penduduk agar keluar daripada pemikiran lama dan berubah kepada kehidupan baharu sejajar dengan pembinaan projek jalan raya yang menghubungkan mereka dengan dunia luar.

“Saya berharap anda semua dapat meningkatkan taraf hidup dan perlu sentiasa bersabar dengan pelbagai dugaan mahupun masalah yang dihadapi.

“Kerajaan akan sentiasa bersama anda lebih-lebih lagi kawasan Nanga Sepitok, amnya Ulu Machan ini telah mendapat perhatian kami.

“Maka, selepas ini kita fikirkan pembangunan lain untuk dilaksanakan di sini misalnya akan melaksanakan kemudahan asas yang lain se-perti projek air dan elektrik,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan itu memberi jaminan.

Sehubungan itu, Gramong terus mengingatkan penduduk di situ agar meng-utamakan pendidikan yang sewajarnya kepada anak-anak dalam agar mereka beroleh kejayaan serta dapat membantu membangunkan kawasan berkenaan pada masa depan.