JAKIM disaran pantau produk makanan import

0

MIRI: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) disaran memantau produk makanan yang diimport dari luar bagi meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk berstatus halal.

Presiden Persatuan Peniaga Bumiputera Miri Sarawak (PBMS) Abdul Hadi Arbie berharap agensi itu memeriksa dengan teliti produk yang diimport dari luar.

“Ia termasuk pemeriksaan dokumentasi dan pemantauan dari segi penyediaan produk sebelum sesuatu produk itu dilabelkan dengan logo halal,” katanya di sini semalam.

Kementerian Kesihatan Malaysia Sabtu lepas telah mengesan DNA babi di dalam dua produk Cadbury Confectionery (M) Sdn Bhd meskipun produk itu dilabel logo halal.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata JAKIM harus menjalankan lebih kerap pemantauan terhadap pengilang-pengilang bukan Islam termasuk produk kosmetik.

“Umat Islam akan meragui sijil halal yang dikeluarkan pihak JAKIM kerana agensi itu satu-satunya badan yang berkuasa dalam bidang halal.

“Isu produk dua coklat Cadbury yang dikesan mengandungi DNA babi ini turut menjejaskan kepercayaan umat Islam terhadap agensi yang mengeluarkan logo halal,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, pihak yang bertanggungjawab dalam mengeluarkan logo halal tidak harus terlepas pandang terhadap penyeliaan dan pemprosesan produk makanan mengikut prosedur.

“Ia bermaksud pemantauan daripada semua segi perlu dilakukan secara teliti dan sistematik sebelum produk berkenaan disahkan layak menerima logo halal,” tegasnya.

Berkongsi pandangan sama, Pengerusi PBB Pujut Masni Amit menggesa agensi berkaitan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat Cadbury Confectionery (M) Sdn Bhd.

“Semua coklat yang dikeluarkan syarikat berkenaan harus diasingkan atau dipindahkan ke tempat produk bukan halal sementara menunggu JAKIM mengambil tindakan susulan,” ujarnya.

Masni memberitahu, coklat berkenaan sememangnya terkenal di Malaysia, namun sejak dikesan mengandungi DNA babi, kepercayaan pengguna terhadap coklat itu terjejas.

“Kami menggesa agar syarikat itu digantung operasi sementara menunggu siasatan rapi yang dijalankan agensi-agensi kerajaan berkaitan,” ujarnya.