MBM kumpul cukai pintu RM21.06 juta untuk setengah tahun pertama

0

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) berjaya mengumpul cukai pintu sejumlah RM21.06 juta untuk pungutan setengah tahun pertama tahun ini.

Datuk Bandarnya, Lawrence Lai berkata jumlah berkenaan mencapai 50.6 peratus untuk jumlah keseluruhan pada tahun ini.

“MBM secara keseluruhannya berharap dapat mengumpul sekitar RM41 juta daripada pembayar cukai tahun ini dan terima kasih kepada mereka kerana memberi kerjasama, hasilnya kita dapat memungut separuh daripada amaun yang dijangka,” katanya kepada wartawan ketika sesi bersama pelanggan di Pusat Sehenti MBM, di sini semalam.

Mengenai bayaran penalti kerana pembayaran lewat, beliau memberitahu setakat ini MBM telah memungut sejumlah RM3.4 juta.

Beliau memberitahu, ini amat memberangsangkan kerana potongan 50 peratus yang ditawarkan oleh MBM sejak Januari hingga Mei lalu.

Bagaimanapun, pihaknya belum memutuskan sama ada mahu mengekalkan tawaran potongan berkenaan untuk setengah tahun berikutnya kerana melibatkan pengesahan dan persetujuan dari Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti.

Mengenai hartanah pula, sebanyak 54,800 telah didaftarkan termasuk kawasan kediaman, komersil dan industri.

Daripada jumlah itu, bilangan hartanah kawasan kediaman mencatatkan jumlah terbanyak iaitu 49,000 dan selebihnya adalah daripada bahagian komersil dan industri.

Jumlah itu dijangka meningkat dengan projek baharu yang dalam pembinaan dengan tambahan sebanyak 1,000 hartanah terbaharu.

Di samping itu, jangkaan mutu perkhidmatan pihak MBM oleh orang ramai turut meningkat.

“Kita akan membuat yang terbaik untuk memuaskan hati pelanggan demi memenuhi jangkaan mereka,” katanya.