Sukan mampu menyatukan golongan belia, kata Ding

0

Satukan belia untuk bekerjasama jayakan program dijalankan

Oleh Kepu Sidi //

SARIKEI: Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Sarikei Ding Kuong Hiing berkata penganjuran aktiviti berasaskan sukan mampu menjadi program menyatukan golongan belia serta memperkukuh semangat setia kawan.

Ding berkata aktiviti itu mampu menyatukan golongan belia dari segenap pelosok untuk bergaul bersama dan bekerjasama dalam menjayakan setiap program dijalankan.

“Kita menggesa generasi muda dan golongan belia berusaha mengelak diri daripada terlibat dengan sebarang gejala tidak sihat kerana tiada sebarang kebaikan yang bakal mereka perolehi, tetapi apa yang nyata ialah mereka menghancurkan masa depan diri dan memusnahkan harapan bangsa dan negara.

“Kepada belia kita gesa mereka tidak menjadi belia yang lembik, tetapi harus menjadi belia yang tahan lasak serta berani menghadapi dan berhadapan dengan sebarang cabaran mendatang.

“Jangan menjadi belia yang membebankan masyarakat, bangsa dan negara, tetapi jadilah belia yang menjadi tunjang negara dan pelapis bangsa,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Bola Keranjang 10 Tahun Ke Bawah (TKB) anjuran Persatuan Bola Keranjang Sarikei, semalam.

Pertandingan itu berlangsung di Gelanggang Bola Keranjang Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Kwang Chin, di sini.

Menurut Ding yang juga pengerusi Persatuan Bola Keranjang Daerah Sarikei, usaha menganjurkan pertandingan itu mampu melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam sukan terbabit.

“Kita mahu para ibu bapa terus memberi sokongan dan galakan kepada anak-anak mereka bergiat aktif dalam bidang sukan.

“Bidang ini jika diceburi secara serius bukan hanya memberi impak positif kepada kesihatan tetapi mampu menjadi satu kerjaya cerah dan cemerlang pada masa depan jika ia dipergiatkan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Untuk kategori lelaki 10 TKB, tempat pertama dimenangi SJKC Song Hua, kedua SJKC Hwa Man dan ketiga SJKC Kwang Chin.

Bagi kategori perempuan, johan menjadi milik pasukan SJKC Song Hua, naib johan SJKC Hwa Man (A) dan ketiga SJKC Hwa Man (B).