Usah percaya khabar angin

0

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah menggesa rakyat di negeri ini supaya tidak mendengar atau terpengaruh dengan mana-mana berita palsu berhubung keadaan keselamatan di pantai timur tanpa maklumat yang sahih.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, ia berikutan terdapat beberapa khabar angin yang sengaja mencetuskan rasa takut di kalangan masyarakat termasuk menghebahkan isu-isu keselamatan di pantai timur di media sosial.

“Kita mohon rakyat Sabah jangan dengar berita-berita palsu yang senjaga dibuat untuk menakutkan orang ramai.

“Keadaan keselamatan seluruh Sabah termasuk di pantai timur adalah terkawal dan pihak agensi keselamatan mampu mengawalnya jika berlaku apa jua kemungkinan.

“Namun saya menyeru agar masyarakat hentikan menyebar khabar-khabar angin menyentuh hal-hal keselamatan kerana dikhuatiri akan mencetus keadaan kucar kacir di negeri ini,” katanya dalam kenyataan medianya di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung penyebaran maklumat-maklumat serta khabar-khabar angin di media sosial seperti Facebook, WhatsApps serta Twitter berhubung keadaan keselamatan di pantai timur Sabah.

Dalam penyebaran berkenaan, rata-ratanya mendakwa terdapat pelbagai kemungkinan bahawa Sabah akan bergolak ekoran serangan pengganas, pengisytiharan darurat di pantai timur dan lain-lain.