RM30,000 lesap dalam bank

0

SIBU: Seorang lelaki mendakwa baki wang simpanan KWSP sebanyak RM30,000 miliknya yang disimpan di dalam sebuah bank tempatan di sini lesap begitu sahaja.

Pengadu yang baharu sahaja mencecah umur 55 tahun iaitu had umur minimum bagi seseorang pencarum layak mengeluarkan simpanan daripada KWSP, bekerja di sebuah syarikat swasta di Tanjung Manis.

Dalam laporan polisnya, pengadu memberitahu bahawa dia mengeluarkan RM50,000 daripada akaun berkenaan selepas KWSP memasukkan wang simpanan KWSPnya yang berjumlah RM80,000.

Pengadu masih bekerja di syarikat sama selepas dilanjutkan tempoh kerja selama setahun, meminta isterinya menyemak baki wang simpanan di bank berkenaan pada 9 Julai lalu.

Bagaimanapun, isteri pengadu terkejut selepas mendapati baki wang tertera di skrin mesin ATM berkenaan tinggal RM6,000 sahaja.

Tidak berpuas hati dengan jumlah baki tersebut, isteri pengadu ditemani anak saudaranya terus bertanya kepada seorang pegawai bank berkenaan untuk mendapatkan penjelasan.

Menurut pengadu, pihak bank menyatakan bahawa wang tersebut mungkin telah dikeluarkan oleh pemilik akaun sendiri sebelum itu meskipun isteri pengadu menafi kannya.

Setelah berunding, isteri pengadu meminta pihak bank melakukan siasatan mengenai kehilangan wang simpanan suaminya.

Selepas puas menunggu tiada tindak balas daripada pihak bank mengenai kes tersebut, isteri pengadu sekali lagi pergi ke bank berkenaan untuk menyemak semula akaun simpanan suaminya melalui mesin ATM.

Bagaikan tidak percaya, isteri pengadu mendapati jumlah baki akaun simpanan suaminya hanya berjumlah RM11.00.

Isteri pengadu terus menghubungi suaminya mengenai kehilangan wang simpanan sejurus selepas itu.

Apabila si suami mendapati wang simpanannya lesap untuk kali kedua, dia terus meminta isterinya membuat laporan di Balai Polis Sentral Sibu tanpa memberitahu pihak bank berkenaan pagi semalam.

Bagaimanapun, polis meminta suami pengadu sebagai pemilik akaun yang sah datang sendiri ke balai untuk membuat laporan polis pada petang yang sama.