Disiplin dalam melabur bina tabungan kukuh

0

Apabila anda melabur, perkara paling penting yang perlu anda lakukan ialah melakukannya secara konsisten dan berterusan untuk satu tempoh yang panjang.

Selain itu, anda juga digalakkan melaburkan semula dividen yang diterima setiap tahun.

Kedua-dua langkah ini akan membolehkan modal pelaburan anda berkembang dengan lebih pantas berbanding jika anda melabur secara tidak konsisten dan sering pula mengeluarkan dividen.

Menerusi perbualan dengan seorang penasihat kewangan, beliau berkata amalan melabur secara konsisten dan melaburkan semula dividen yang diterima itu merupakan asas kepada konsep kuasa pengkompaunan.

Kuasa pengkompaunan boleh dikatakan sebagai kuasa gandaan yang membolehkan pelaburan berkembang dengan pantas, asalkan pelabur mengikuti kedua-dua langkah yang dinyatakan.

Sebagai contoh, katakan anda melabur RM150 sebulan selama 20 tahun dalam sebuah institusi pelaburan yang memberi pulangan purata 7 peratus setahun. Anda akan mempunyai tabungan berjumlah kira-kira RM78,000 di akhir tempoh pelaburan anda.

Jika anda melabur sebanyak RM50 sebulan pula, anda akan memperoleh kira-kira RM26,000 diakhir tempoh pelaburan anda.

Bayangkan jika anda membuat komitmen sedemikian untuk anak-anak anda sejak mereka berusia 6 bulan? Sudah pasti apabila mereka memulakan pendidikan di universiti kelak, setiap mereka akan mempunyai tabungan untuk pengajian masing-masing.

Justeru, jangan biarkan kekangan masa atau kesibukan menghalang anda untuk membuat pelaburan secara konsisten setiap bulan.

Kemudahan seperti potongan gaji bulanan, pelaburan secara ‘on-line’ atau arahan tetap boleh membantu melabur dengan konsisten, seterusnya membina tabungan kukuh untuk diri anda.

Antara yang menawarkan kemudahan potongan gaji ialah ASNB, yang mana anda boleh membuat potongan gaji bulanan minimum RM10 untuk melabur dalam ASB.

Justeru, anda tidak perlu membuat potongan bulanan yang terlalu besar hingga mengganggu perbelanjaan anda dan mendorong anda mengeluarkannya semula di hujung bulan.

Justeru gunakanlah kemudahan dan teknologi yang ada supaya anda boleh membuat pelaburan yang konsisten dan menjadikan diri anda seorang pelabur yang berdisiplin.

Jika anda sering menggunakan perbankan Internet untuk membayar hutang setiap bulan, kaedah pelaburan secara ‘online’ akan memudahkan anda melabur.

Justeru, setiap bulan, sebaik mendapat gaji, anda boleh membuat pelaburan seiring dengan transaksi lain seperti membayar hutang kereta ataupun rumah.

Tanamkan dalam diri anda bahawa pelaburan adalah seperti satu perbelanjaan yang akhirnya akan memberi manfaat kepada diri anda. Mana tidaknya, tabungan yang anda bina itu kelak akan membantu anda ketika kecemasan atau apabila anda bersara kelak.