SIDS sampaikan insentif kepada pelajar cemerlang

0

KUCHING: Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) semalam menyampaikan insentif kepada 27 pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM 2013.

Insentif berbentuk wang tunai dan sijil itu telah disampaikan oleh Pengerusi SIDS Dato Sri Empiang Jabu pada satu majlis ringkas yang berlangsung di sebuah hotel di sini.

Meskipun berlangsung secara sederhana, tetapi menurut Empiang, majlis itu amat bermakna bagi SIDS dalam mendorong pelajar terutama dari kalangan anak bangsa Dayak untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam akademik.

“Sebagai kumpulan wanita Iban, pemberian insentif ini bukan sahaja sebagai pendorong kepada anak-anak tetapi pada masa yang sama untuk mendorong ibu bapa agar mengutamakan soal pendidikan di kalangan anak-anak mereka.

“Kita harus ingat, pendidikan merupakan kunci utama kepada kejayaan dan masa depan cerah untuk bangsa kita dan sebab itulah anda semua yang merupakan golongan pelajar perlu belajar bersungguh-sungguh dan meletakkan pendidikan sebagai keutamaan dalam hidup anda,” ujarnya.

Sementara itu Setiausaha SIDS Datin Senorita Linang bagi pihak Jawatankuasa Tabung Pelajar berkata, penyampaian insentif itu merupakan salah satu daripada aktiviti tahunan SIDS sebagai galakan kepada pelajar untuk terus mencapai keputusan cemerlang dalam pendidikan.

Katanya, majlis ini telah dianjurkan selama 15 tahun oleh SIDS, namun kali ini disebabkan masa yang terhad maka majlis ini diadakan tanpa aktiviti ceramah motivasi seperti tahun-tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, tiga pelajar cemerlang UPSR yang menerima insentif daripada SIDS semalam ialah Chris Alvin Terence (5A), Ryan Giggs Paul Natu (5A) dan Einstein Kent Elias Nunuk George (4A).

Sembilan belas pelajar cemerlang PMR pula terdiri daripada Audrey Albert, Cornelius Orian Graty, Francis Kuding Kuah, Irene Maderina Marcus Paulus, Jeanyfer Albert Sekudan, Muna Lassandra King Robert, Naedya Octovia Lemba Narang, Natalie Surau Paul Natu, Patrick Dominian Engkiribau, Priska Leha Keery, Shanta Lucasta Tiam, Stephanie Alma Jong, Sylvester Delon Jo, Aliester Edwin, Anabael Justin Janggi, Elvis Chasel Paling, Andrica Leja Kelly, Felicity Liew dan Roseshirla Mud.

Manakala, empat pelajar SPM ialah Amenda Leja Kelly, Boniface Voon, Gibson Ketit Peter Libu dan Roseanna Robert dan seorang pelajar cemerlang STPM iaitu Nicholas Lidang Mud yang memperolehi keputusan CGPA 3.59.