Kesedaran awam dapat kurangkan stigma terhadap pesakit mental

0

KUCHING:Pakar Psikatri Hospital Sentosa Dr Rosliwati Md Yusoff berkata kesedaran awam dapat mengurangkan stigma terhadap pesakit mental seterusnya membantu mereka pulih dan menjalani kehidupan normal.

Katanya jumlah pesakit mental menduduki jumlah teratas diikuti penyakit kemurungan dan Bipolar.

Namun beliau tidak dapat memberi angka tepat ekoran tidak terdapat sebarang kajian formal yang dijalankan pihaknya.

“Jumlah pesakit mental di seluruh negeri menunjukkan peningkatan bagi jumlah kes baharu setiap tahun di seluruh negeri ini.

“Tetapi di kawasan bandar terdapat kesedaran di kalangan ahli keluarga pesakit melalui media massa dan sosial, membolehkan pesakit minda dirawat dengan segera.

“Manakala di kawasan luar bandar agak sukar dicapai secara logistik, apatah lagi masih ramai masyarakat belum mengetahui bahawa penyakit mental jika dirawat secara awal akan mempercepatkan proses pemulihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kempen Kesedaran Kesihatan Minda (Program Stigma Shout) di Kampung Bumbok Bau, semalam.

Projek tersebut dijalankan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Hospital Sentosa yang dijalankan di seluruh negeri.

Dr Rosliwati turut memperjelaskan bahawa penyakit mental turut dihidapi pesakit kanak-kanak sehingga mereka yang berumur 40-an disebabkan faktor kehidupan, pembawaan genetik dan tekanan kehidupan hari ini.

Jelas beliau, kanak-kanak yang mengalami penyakit mental adalah disebabkan cara penjagaan keibubapaan yang salah sejak bayi lagi dan ia dapat dirawat dengan segera.

Program Stigma Shout dipercayai dapat membantu memberi kesedaran tentang kesedaran terhadap penyakit mental dan mengurangkan stigma iaitu diskriminasi kepada pesakit yang menghidapi penyakit mental.

“Lagipun, ramai antara masyarakat mengkategorikan pesakit mental sebagai mereka yang berkelakuan ganas, agresif dan berbahaya tetapi sebenarnya tidak. Ini semua salah.

“Dengan adanya ceramah ini, maka diharap kuranglah stigma masyarakat terhadap pesakit mental secara umumnya yang kali pertama dijalankan pada tahun ini,” katanya yang turut menjangkakan lebih kurang 200 penduduk Kampung Bumbok dan Tematu mendapat manfaat daripadanya.

Sebelum ini, Hospital Sentosa telah menjalankan bengkel untuk kakitangan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Pada 25 September ini akan diadakan Program Stigma Shout di Hospital Sentosa bagi mendidik para kaunselor dan guru sekolah menengah dan rendah di sini.

Menurut Dr Rosliwati, program kesedaran itu akan dikembangkan ke kawasan luar bandar dan jika diberi peruntukan oleh kerajaan ia akan diperluaskan ke rumah-rumah panjang di kawasan pedalaman negeri ini.

Turut diadakan pameran ubat-ubatan terlarang, saringan kesihatan mental dan latihan dalam kumpulan untuk kanak-kanak.

Untuk makluman lanjut mengenai kesihatan minda sila hubungi Seksyen Psikologi Kaunseling Hospital Sentosa di talian 082-612321 atau 612132.