Cuba curi, suri rumah ditahan

0

TAHAN: Suspek wanita terbabit membawa bersama
anak-anak ke balai polis selepas ditahan kerana
mencuri barang dari pasar raya di Sibu, semalam.

SIBU: Seorang suri rumah diheret ke balai polis bersama dua anaknya yang masing-masing berusia sembilan bulan dan sembilan tahun selepas suri rumah itu dipercayai cuba mencuri pelbagai barangan dari sebuah pasar raya di Jalan Kampung Nyabor, semalam.

Suspek yang berusia 30 tahun dikatakan membawa bersama sebuah beg plastik ke dalam pasar raya itu pada kira-kira jam 11 pagi semalam.

Bagaimanapun, tingkah laku suspek yang mencurigakan, telah menarik perhatian seorang pekerja pasar raya terbabit.

Setelah diperiksa, pekerja pasar raya terbabit menjumpai barangan bernilai lebih RM100 di dalam beg plastik itu yang belum dibayar oleh suspek.

Mengikut peraturan pihak pasar raya, pencuri yang cuba mencuri barang dikehendaki membayar 10 kali ganda nilai barangan yang dicuri.

Bagaimanapun, pemilik pasar raya itu meminta suspek membayar RM300 sahaja kerana simpati terhadap suspek yang mempunyai dua orang anak kecil.

Suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Difahamkan, suami suspek bekerja di sebuah kem pembalakan di Song.